suria

Kerajaan Usaha Selesai Tuntutan Geran Tanah Orang Asli Rompin

Shafie (tiga dari kanan) bersama calon BN, Hasan Ariffin pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Orang Asli Rompin, Isnin.
ROMPIN: Kerajaan sedang berusaha mencari penyelesaian kepada isu tuntutan geran tanah di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli sekitar daerah ini yang masih berlarutan sehingga hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu tersebut tertangguh kerana terdapat beberapa kekangan dari segi status hak pemilikan tanah.

"Saya akan berusaha memastikan tanah yang dipohon (geran tanah) masyarakat Orang Asli itu khususnya yang melibatkan kawasan penempatan. Ada beberapa isu timbul iaitu ia tanah yang diusahakan itu bukan tanah Orang Asli tetapi milik kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pecah tanah hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kedaik dan penyerahan kunci untuk program  bantuan rumah (PBR) bina baru Orang Asli di daerah ini, Isnin.


Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, kerajaan perlu mematuhi undang-undang berkaitan tanah kerana sesetengah lokasi penempatan yang dipohon masyarakat ini merupakan kawasan hasil sumber air di Pahang.

"Kalau kita bagi pada Orang Asli sudah tentu sumber air akan terjejas kerana adanya pembangunan. Jadi kita perlu kekalkan kawasan itu, " katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencari tanah di kawasan berdekatan supaya permintaan masyarakat ini dapat ditunaikan.

"Pada masa sama, kita cari jalan dan bincang dengan Menteri Besar bagi membolehkan permohonan tersebut ditunaikan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib masyarakat tersebut kerana ada geran tanah yang telah diberikan di daerah itu tetapi mungkin masih belum mencukupi.

"Di Pahang ada yang kita dah bagi mungkin tak cukup, tapi kita akan usahakan. Sebagai contoh di Cameron Highlands, kita bukan sahaja bagi Orang Asli tanah tapi kita bina rumah dan sediakan ladang kelapa sawit untuk mereka usahakan," katanya.

Isu geran tanah menjadi perkara utama yang dibangkitkan masyarakat Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Masyarakat tersebut mendakwa isu tersebut gagal ditangani walaupun BN telah memenangi kawasan tersebut sejak sekian lama.

Sementara itu, Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membina hentian R&R di Kampung Kedaik di sini.

Beliau berkata, hentian tersebut akan memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan mempromosikan hasil kraftangan mereka.

Artikel Lain