suria

Ibu bapa turut ‘hadir’ di hari pernikahan, paparan wajah AI cukup bermakna buat Radin

Radin (dua dari kiri) sebak mengenangkan arwah ibu dan bapanya di hari pernikahan.

ISTIMEWA pada hari pernikahannya, penyampai radio Era FM iaitu Radin berkongsi momen penuh emosi menerusi paparan gambar kedua-dua arwah ibu bapanya yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Biarpun tidak dapat hadir secara fizikal, namun detik berkenaan cukup bermakna buat Radin atau Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36.

"Di belakang itu adalah gambar AI. Gambar itu pernah dirakam pada 2003 ketika saya berusia 13 tahun.

"Itu adalah satu-satunya foto ibu bapa saya kerana ayah tidak suka bergambar. Gambar itu memang gambar lama.

Radin sangat manja dengan arwah ibu dan bapanya.

"Pada hari bahagia saya dinikahkan, memang saya sangat berharap arwah mak dan ayah ada.

"Walaupun tidak ada secara jasad, tetapi cukuplah dengan gambar itu buat saya bahagia," katanya.

Untuk rekod, bapanya Allahyarham Ahmad Aruani meninggal dunia pada 2010, manakala ibunya Allahyarhamah Feridah Hashim menghembuskan nafas terakhir pada 2021.

Dalam nada sedih, Radin juga yakin kedua-dua ibu bapanya pasti cukup bahagia melihat dia kini sah bergelar suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Radin sah bergelar suami, serah mas kahwin RM15,020.26

ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik tak profesional urus majlis nikah Fattah, Amira… Radin terima teguran dengan hati terbuka

"Saya manja dengan mak dan ayah. Saya sangat bersyukur adik-beradik dan keluarga baharu (mentua) menerima saya seadanya.

"Saya rasa kalau arwah mak dan ayah masih ada pun, mereka mahu tengok saya bahagia.

"Terima kasih atas semua doa, saya rindu mak ayah. Mak ayah saya dah kahwin," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang isterinya, Nur Amirah Shamsulbahrin, Radin berkata mereka mula berkenalan di media sosial dan pada awalnya hanya sebagai rakan.

Sikap tegas dalam diri Nur Amirah antara ciri-ciri yang membuatkan Radin terpikat dengan wanita berkenaan.

"Kami sebenarnya kenal di media sosial, perkenalan itu tidak mempunyai apa-apa ekspektasi. Kami hanya berkawan, balas-balas DM.

"Apa yang dibuat dan membuatkan saya jatuh cinta kepadanya adalah dia tidak berpura-pura, itulah dirinya.

Radin berkenalan dengan Amirah menerusi media sosial.

"Kali pertama saya keluar makan dengannya, dia yang belanja saya.

"Daya intelektual dan cara dia membawa diri, dia seorang yang tegas. Dalam masa sama, dia juga menghormati saya. Itulah antara sebab saya boleh jatuh hati kepadanya," katanya.

Pada malam Jumaat, Radin sah bergelar suami kepada Amirah dengan sekali lafaz.

Dalam majlis tersebut, Radin menyerahkan mas kahwin sebanyak RM15,020.26 kepada isterinya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain