suria

IS: Polis Perketat Kawalan Bangunan Kerajaan, 'Lokasi Maksiat'

Ayob Khan Mydin Pitchay

SHAH ALAM: Pihak keselamatan kini memperketatkan kawalan di semua bangunan kerajaan dan lokasi yang dikenal pasti berkemungkinan menjadi sasaran serangan pengganas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata langkah itu diambil berikutan maklumat yang diterima mengenai rancangan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS) di negara ini.

"Lokasinya lebih menjurus kepada tempat-tempat yang mereka (suspek) katakan sebagai maksiat dan sasaran kerajaan yang dikatakan teruk, termasuklah bangunan kerajaan di Putrajaya.

"Kita sudah mengambil langkah proaktif untuk memperketat dan memperkemaskan kawalan serta pemantauan di bangunan-bangunan kerajaan termasuk di balai polis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat eksekutif ancaman IS anjuran Jabatan Agama Islam Selangor bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tangkapan 12 suspek pengganas ketika cuba melakukan ujian bahan letupan di kaki Gunung Nuang pada Sabtu sebelum dikatakan cuba meletupkan lokasi tertentu di Lembah Klang.

Tanpa mahu mendedahkan secara spesifik lokasi yang menjadi sasaran letupan bom, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan ancaman ini.

Beliau juga enggan mengulas sama ada masih terdapat baki pengganas daripada kumpulan yang sama di negara ini.

Katanya, pada masa sekarang ancaman IS tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di mana-mana negara di seluruh dunia.

"Jangan bimbang kita sudah ambil langkah pencegahan.

"Saya rasa kita mampu menangani ancaman ini, jangan bimbang," beliau menasihatkan orang ramai.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan, beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan terhadap suspek.

Berdasarkan siasatan, mereka didapati belajar membuat bom dari Internet.

"Mereka ada manual membuat bom dan kita dapat mengesahkan memang mereka belajar buat bom melalui Internet," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain