suria

Hentikan Isu Popiah, Usulkan Dasar Diplomasi Budaya - Yusmadi Yusoff

Penunjuk perasaan membuat demonstrasi di depan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Semua pihak perlu menghentikan pertikaian berhubung status kuih popiah sebagai makanan warisan kerana ia sekadar isu remeh yang hanya akan mencetuskan pergeseran dalam hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Sebaliknya, adalah lebih bermanfaat jika dasar diplomasi budaya diwujudkan bagi mengangkat persefahaman di antara dua budaya serumpun untuk kepentingan serantau.

Pengerusi Yayasan Rights, Yusmadi Yusoff berkata, isu popiah hanya mengulangi pertikaian yang pernah tercetus antara kedua negara suatu ketika dahulu melibatkan lagu ‘Rasa Sayang Eh’.

“Bagi saya apakah isu pokok dalam isu-isu ini? Isunya adalah di rantau ini tidak ada satu dasar diplomasi budaya dan dengan itu, Malaysia selaku Pengerusi Asean ketika ini perlu mengusulkan dasar diplomasi budaya untuk kepentingan bersama rantau ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Jumaat lalu, sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) membuat demonstrasi di depan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dan mendakwa kuih popia sebagai warisan negara itu.

Yusmadi Yusoff.

Yusmadi berkata, dasar diplomasi budaya akan memberi manfaat dari segi ekonomi, hubungan antarabangsa, aspek keselamatan dan kesefahaman serantau yang lebih erat.

“Budaya mempunyai banyak sisi tetapi yang perlu diangkat menerusi diplomasi budaya ialah sisi yang menguntungkan, iaitu di mana pemimpin, budayawan dan usahawan dapat bermuafakat antara dua negara untuk kepentingan serantau.

“Saya tidak bersetuju sekiranya isu popiah ini menjadi seperti ‘api lawan api’ kerana ia tidak menguntungkan. Mereka nak buat demo, kita pun nak buat demo.

“Saya percaya Malaysia lebih ke hadapan untuk mengusulkan dasar diplomasi budaya serantau bagi membendung perkara remeh-temeh yang merugikan Asean,” katanya.

Beliau yakin dasar diplomasi itu dapat menjadikan contoh hubungan Malaysia dan Indonesia berkolaborasi mengenai kehebatan masing-masing melibatkan banyak perkara seperti filem, seni suara, budaya dan makanan. 

Isu popiah tidak sepatutnya dipertikaikan sebaliknya diangkat sebagai satu budaya untuk mengukuhkan hubungan serantau.

Tambahnya, langkah tersebut akan meletakkan Asean sebagai rantau strategik di dunia, di mana berlakunya diplomasi antara dua budaya.

“Asean merupakan satu-satunya tempat di dunia ini yang mana tamadun dunia yang besar berinteraksi di dalam ruang arus perdana seperti tamadun Islam, Cina, India dan Eropah.

“Kalau isu popiah ini sebagai produk hasil interaksi budaya, kenapa kita perlu bertelagah tentang siapa punya. Adalah lebih baik kalau popiah ini dapat dinikmati oleh warga dunia yang menyumbangkan kekuatan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Menurut Yusmadi, dasar diplomasi budaya itu mempunyai kepentingan kepada negara Asean seperti Malaysia apabila kekuatan hubungan antarabangsa bagi Malaysia akan lebih terserlah sekiranya ia disertakan dimensi budaya.

“Malaysia dengan kelebihan dari segi kepelbagaian budaya yang berinteraksi dan berdiplomasi di dalam negara, saya berpendapat kita mempunyai peluang untuk menjadi pemimpin dunia di dalam aspek diplomasi budaya,” katanya.

Artikel Lain