suria

Jurang Pendapatan: Satu Pemerhatian

KITA bertemu lagi setelah agak lama berehat dan 'menghilangkan diri'. Malaysia sememangnya sebuah negara yang semakin tahun semakin kaya. KDNK negara berkembang sekitar lima hingga enam peratus sejak empat tahun lepas. Keuntungan 200 buah syarikat terbesar di Malaysia kian bertambah.

Tahun 2013 sahaja, 200 syarikat ini telah mencatat keuntungan sebanyak RM163 bilion- iaitu lebih 11 peratus daripada tahun sebelumnya. Tidak mustahil mereka akan lebih untung hasil daripada kemakmuran ekonomi negara.

Keuntungan yang bertambah ini, ditokok dengan royalti Petronas yang ‘tetap’ sebanyak RM30 bilion setahun, sudah pastilah menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya.

Oleh yang demikian analisis yang dibuat oleh para penganalisis ekonomi dan kenyataan optimis menteri berkenaan dengan prestasi ekonomi kita adalah tepat. Tetapi menjadi negara kaya sahaja tidak memadai sekiranya pengagihan kekayaan tidak dilakukan dengan betul.

Bagaimana untuk kita menjelaskan keadaan di mana 80 peratus daripada isi rumah di Malaysia menerima pendapatan kurang RM5,000 sebulan dan 40 peratus daripadanya lebih kurang daripada RM2,000. Pada masa yang sama, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia telah meningkat sebanyak 12 peratus daripada tahun lepas kepada RM213 bilion.

Tidak hairanlah apabila dicampur semua angka ini kita akan mendapat purata pendapatan rakyat Malaysia sebanyak RM5,900 sebulan.Sesungguhnya angka ini tidak tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar realiti kehidupan dan pendapatan hari ini.

FORMULA PURATA

Untuk membuktikan kecelaruan formula ‘purata’ ini, bolehlah kita membaca statistik pelaburan di dalam Amanah Saham Didik yang dikeluarkan PNB. Pada 2014, purata pelaburan bagi setiap pelabur adalah RM14,500. Jumlah ini banyak jika dilihat sekali pandang. Tetapi realiti sebenar adalah jauh berbeza. 86 peratus pemilik akaun hanya mempunyai RM1,000 dan 0.5 peratus pelabur atasan memiliki RM1.5 juta seorang.

Keadaan ini tidak jauh bezanya dengan simpanan pencarum KWSP yang mana 78.6 peratus adalah mereka yang bergaji kurang daripada RM3,000. Di dalam Amanah Saham Bumiputera, 75 peratus daripada pelabur hanya mempunyai purata RM611 di dalam akaun simpanan mereka. Ini menjelaskan mengapa baru-baru ini timbul desakan supaya bank-bank lebih banyak meletakkan not wang RM10 di mesin ATM. Sememangnya ada di kalangan kita yang baki akaun banknya kurang daripada RM50 pada satu-satu masa.

Dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi, kerajaan ingin mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan negara. Rasionalisasi subsidi dijalankan di mana harga minyak dan eletkrik mula mengikut harga pasaran.

Tahun hadapan, cukai GST akan dikuatkuasakan. Sudah tentu harga sesetengah barangan dan perkhidmatan akan naik. Ini menyebabkan ‘pendapatan boleh guna’ golongan kebanyakan semakin kurang. Mereka ini terpaksa meminjam wang untuk meneruskan kehidupan dan sekaligus meningkatkan kadar hutang isi rumah di Malaysia.

Adakah ini semua menakutkan? Belum cukup lagi.

KESEJAHTERAAN RAKYAT VS PASARAN
Menurut kajian Sime Darby Properties, mereka yang ingin memiliki rumah di Lembah Klang perlu memiliki pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM14,580 sebulan. Tidak hairanlah semakin banyak permohonan pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan ditolak oleh bank. Lebih 34 peratus hartanah yang bernilai dari RM250,000 sehingga RM1 juta tidak terjual sepanjang 2014.  Rumah tidak akan menjadi semakin murah dan pemaju hartanah semkain gemar membina rumah yang mahal. Kos sara hidup yang meningkat mengurangkan lagi kemampuan untuk membeli rumah.

Pada masa yang sama, golongan berpendapatan tinggi di Malaysia semakin kaya. Permintaan terhadap hartanah bernilai lebih RM1 juta begitu hebat sehinggakan hanya 8 peratus daripada hartanah dalam kategori ini yang tidak terjual. Setiap minggu, ada sahaja pelancaran projek perumahan yang baru.

Hotel-hotel mewah bertaraf lima bintang seperti Harrods, W Hotel, St Regis dan Banyan Tree akan membuka cawangannya di Malaysia. Jualan kereta berjenama seperti BMW, Mercedes Benz, Volkswagen, Mini Cooper, Audi dan Land Rover mencatatkan rekod jualan tahunan. Syarikat penerbangan antarabangsa seperti Air France, Lufthansa, British Airways dan Turkis Airlines berlumba-lumba menyediakan penerbangan terus ke negara masing-masing berikutan wujudnya pasaran. Restoran-restoran mewah sudah tumbuh ibarat cendawan lepas hujan. Kesemua ini tidak akan berlaku jika tidak ada permintaan yang tinggi.

Sudah tiba masanya masalah jurang pendapatan ini diberikan perhatian yang sewajarnya.

Adakah Malaysia satu-satunya negara yang mengalami keadaan ini? Tidak. Amerika Syarikat mempunyai 46 juta orang miskin. Di negara-negara maju di Eropah juga golongan atasan yang berjumlah 10 peratus memiliki 70 peratus daripada kekayaan negara. Malaysia mungkin tidak seteruk itu tetapi tanda-tanda ke arah itu sudah mula kelihatan.

Di atas kertas, angka-angka petunjuk ekonomi sememangnya menakjubkan. Persoalannya adakah ini pertumbuhan yang berkualiti di mana pengagihan kekayaan dilakukan secara menyeluruh atau pertumbuhan yang mengikut kehendak pasaran semata-mata?

Pasaran - sebagaimana yang diketahui tidak mengambil kira kesejahteraan orang ramai. Yang perlu memastikan kesejahteraan rakyat bukannya pasaran, sebaliknya kerajaan.

> Mat Rodi atau Radzi Tajuddin, 24, adalah seorang graduan dalam bidang senibina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau adalah anak jati Selayang dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Manchester School of Architecture. Beliau juga adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar.
KDNK, pendapatan, Amanah Saham Didik

Artikel Sebelum

Lelaki Hina PM Ditahan

Artikel Lain