suria

Keganasan Rumah Tangga: Mangsa Ada Hak Hidup Bahagia

PETALING JAYA: Individu yang terlibat dengan kes keganasan rumah tangga dan gangguan seksual kemungkinan mempunyai sejarah hitam ketika kanak-kanak, jelas Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Nurhijjah Mat Zain.

Beliau berkata, senario keganasan rumah tangga ini mungkin juga berlaku apabila pelaku melalui pengalaman sama ketika zaman kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa mereka.

"Masa membesar mereka secara tidak langsung timbul sikap meniru apa yang ibu bapa mereka lakukan dan perasaan itu akan terbawa-bawa sehingga dewasa.

"Mereka (pelaku) yakin dengan bertindak ganas boleh mengurangkan tekanan yang dialaminya, malah mendapat kepuasan tersendiri," jelasnya ketika mengulas mengenai kes keganasan rumah tangga serta serangan seksual kepada mStarOnline.

Nurhijjah berkata, pelbagai faktor yang menyebabkan pelaku berdepan situasi demikian sehingga menyebabkan kecederaan serta trauma kepada mangsa.

"Saya yakin kebanyakan kes yang berlaku berpunca daripada faktor kewangan termasuk kos hidup yang semakin meningkat hingga menyebabkan pelaku dalam keadaan tertekan.  "Faktor sosial juga antara punca terjadinya pergaduhan suami isteri apabila pelaku tidak boleh mengawal emosi.

"Kes keganasan rumah tangga ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah anak-anak mereka juga akan mendapat tempias.

"Mungkin sukar untuk pelaku mengubah sikapnya, namun sesi terapi emosi mampu memberi perubahan positif kepada mereka sebelum mengubah tingkah laku," jelasnya.

Selain itu, Pegawai Advokasi Pertubuhan Wanita (WAO), Yu Ren Chung berkata,  statistik kes itu meningkat mungkin kerana makin ramai mangsa yang berani tampil membuat laporan.

"Jika sebelum ini mereka (mangsa) takut untuk bersuara, namun saban hari perubahan itu boleh dilihat.

"Mangsa juga sudah sedar bahawa mereka ada hak bersuara jika berdepan kes keganasan rumahtangga ini.

"Malah tindakan tegas pihak berkuasa terhadap pelaku juga antara faktor mengapa mereka berani keluar daripada situasi itu," katanya.

Ren Chung berkata, pihaknya sedia membantu mangsa kes berkenaan kerana mereka juga berhak hidup tanpa sebarang keganasan.

Laporan statistik kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 1,259 kepada 4,123 kes pada 2013 berbanding 2864 kes pada 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Lain