suria

Akta Hasutan Tangani Kecenderungan Menghasut

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih bergantung kepada bidang kuasa Akta Hasutan 1948 bagi menangani pelbagai kes yang membabitkan kecenderungan untuk menghasut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, Akta Hasutan akan terus digunapakai sehingga satu akta baharu diperkenalkan kelak.

"Kita tak mempunyai akta lain untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan yang mempunyai kecenderungan untuk menghasut.

"Sebab itu kita hanya bergantung kepada akta ini sementara kita menghasilkan satu akta baharu yang boleh mengambil alih kes berkaitan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) berhubung tindakan kerajaan yang masih menggunakan Akta Hasutan termasuk kepada pemimpin pembangkang.

Berhubung soalan mengapa kerajaan masih belum memansuhkan Akta Hasutan, Nancy berkata, proses untuk memansuhkan atau membentangkan akta baharu yang berkaitan dengannya terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Peguam Negara.

"Kita mengamalkan sistem pengasingan kuasa. Jabatan Peguam Negara yang mempunyai bidang kuasa terhadap akta ini sama ada untuk menarik balik (atau tambah baik).

"Sebagai kuasa eksekutif, kita tak mencampuri dalam hal ini," katanya.

Pada 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tuh Razak mengumumkan  pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Keputusan untuk memansuhkan akta itu dibuat untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga Malaysia dan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.

Dewan Rakyat, Akta Hasutan

Artikel Lain