suria

Sidang Media Khalid Samad Isu Sultan Selangor Murka Sebentar Lagi

Khalid Samad.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad akan mengadakan sidang media khas pada petang Khamis berhubung kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap beliau ekoran tindakannya mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan supaya ia dihapuskan.

Beliau yang memaklumkan mengenai sidang media berkenaan kepada mStar Online pada Rabu berkata, ia bertujuan untuk memberi penjelasan secara umum berikutan isu kemurkaan Sultan Selangor telah tersebar secara meluas.

Khalid pada Khamis sekali lagi mengesahkan mengenai perkara itu yang dijadualkan pada kira-kira pukul 2.30 petang di pejabatnya di Shah Alam.

Confirm, saya akan adakan sidang media pukul 2.30 petang hari ini, sebagaimana yang saya beritahu semalam,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sultan Sharafuddin pada Selasa melahirkan kemurkaan baginda terhadap Khalid yang sebelum ini mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan wakil rakyat PAS itu sebagai biadap, baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Khalid bagaimanapun akur dengan teguran dan titah Sultan Selangor, bagaimanapun berharap untuk menghadap baginda bagi memberi penjelasan.

“Pada dasarnya, saya memang terkejut sebaik sahaja mendapat tahu daripada media ketika waktu berbuka puasa semalam (Selasa), tetapi saya terima (teguran).

“Saya berharap dapat menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan secara peribadi supaya baginda memahami tentang konteks kenyataan saya,” katanya.

Kemurkaan Sultan Selangor itu dizahirkan berikutan kenyataan Khalid pada 17 Jun lalu yang menggesa Kerajaan Selangor supaya menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen Jun lalu, Khalid dengan lantang mencadangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada Mais.

 

 

 


Artikel Lain