suria

Pemuda BN Perak dan NGO Bantu Gelandangan

Masalah gelandangan bukan sahaja berlaku di ibu negara. Gambar Hiasan
IPOH: Pemuda Barisan Nasional (BN) dan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak  turun padang untuk mendekatkan diri dan menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan.

Dalam program "Sahur Bersama Gelandangan" yang diadakan awal pagi Khamis, seramai 30 sukarelawan daripada BN, Yayasan Bina Upaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di beberapa kawasan sekitar Ipoh.

Ketua Pemuda Umno Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, golongan gelandangan itu kebanyakkannya terdiri daripada orang bujang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Pihak kami akan membuat kertas kerja untuk dihantar kepada kerajaan negeri dan mencadangkan satu kawasan bagi mengumpulkan semua gelandangan supaya urusan pembahagian makanan akan menjadi lebih mudah," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan makanan kepada golongan berkenaan.

Sukarelawan Zeti Suhaila Mustapha Kamal yang turut terlibat dalam program itu berkat, beliau menjadi sukarelawan sejak 2011 dan ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial sebagai rakyat Malaysia.

"Setiap seorang daripada kami (sukarelawan) akan keluarkan antara RM5 dan RM10 untuk membeli makanan dan diedarkan kepada gelandangan di sekitar kawasan ini," katanya.

Seorang gelandangan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata beliau terpaksa hidup merempat kerana disisih oleh keluarga.

"Balik kampung saya dihalau, saya dibebaskan daripada penjara. Saya ditahan selama 12 tahun kerana pengambilan dadah," katanya.


Pemuda BN, NGO, Yayasan Bina Upaya

Artikel Lain