suria

Lelaki Keluarkan Pistol Di Hadapan Staf SEB Ditahan

MIRI: Akibat mengeluarkan pistol di hadapan tiga staf Sarawak Energy Berhad (SEB) dan seorang anggota polis bantuan bulan lepas, seorang lelaki diberkas polis pada Rabu yang turut merampas sepucuk pistol dan lima butir peluru.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata penangkapan suspek berusia 39 tahun itu susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa selepas kejadian pada 9.40 pagi, 26 Jun lepas di hadapan sebuah rumah di Lorong 3 Krokop.

"Suspek hanya dapat ditahan semalam kerana sebelum ini dia berada di luar negara," katanya.

Mengulas insiden itu, Gan berkata sebelum mengeluarkan pistol, suspek dipercayai memarahi dan mempertikai tindakan kakitangan SEB yang membuat pemeriksaan meter elektrik di rumah tersebut.

Suspek yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudian bertindak mengeluarkan pistol selain mempersoal kehadiran polis bantuan yang dikatakannya bukan polis sebenar kerana tiada gari atau pistol, kata Gan.

Beliau berkata suspek kemudian dapat ditenangkan oleh kakitangan SEB terbabit yang berkata pemeriksaan meter itu hanya untuk tujuan keselamatan.

Kes disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Menurut Gan polis juga menyiasat sama ada lelaki itu mempunyai permit senjata api. 

pistol, Sarawak Energy Berhad

Artikel Berikut

Artikel Lain