suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Memang menjadi! Bau kucing hilang, rumah dipenuhi aroma segar... Buat sendiri je air rebusan guna bahan di dapur

Petua menggunakan air rebusan daripada bahan-bahan beraroma adalah salah satu cara mudah untuk membantu menyegarkan udara dan mengurangkan bau kurang menyenangkan di dalam rumah. -Gambar hiasan AI

BAGI mereka yang memelihara kucing secara indoor, bau najis, bulu atau kawasan tertentu yang sering menjadi 'port' si bulus kadangkala sukar untuk dielakkan.

Pelbagai cara mungkin sudah dilakukan termasuk mencuci rumah dengan lebih kerap, menggunakan penyegar udara dan memastikan tempat buang najis sentiasa bersih.

Namun begitu, ada kalanya bau kucing masih 'melekat' dan pemilik sendiri mungkin tidak menyedarinya kerana sudah terlalu biasa dengan bau tersebut.

Memahami masalah berkenaan, seorang wanita berkongsi satu petua mudah yang boleh dicuba oleh pemilik kucing indoor untuk membantu menghasilkan aroma lebih segar di dalam kediaman.

Memelihara kucing secara indoor sememangnya menyeronokkan, namun aspek kebersihan dan bau kurang menyenangkan di dalam rumah perlu diberi perhatian. -Gambar hiasan AI

"Memang betul menjadi ye, tak perlu rebus tiga jam. Saya rebus sehingga mendidih, kemudian on and off, saya rebus balik.

"Kebetulan saudara saya datang rumah dan dia mengesahkan rumah saya tak bau kucing seperti selalu," kata wanita yang menggunakan akaun @zarinaaw di Threads. 

Menurutnya, pandangan daripada orang lain penting untuk menentukan sama ada bau di dalam rumah benar-benar berkurangan atau sebaliknya.

"Korang yang nak buat pastikan orang lain yang test bau rumah kita sebab hidung kita sendiri dah lali dengan bau busuk kucing," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Si bulus tiba-tiba terlebih manja, asyik nak duduk dekat... Ini mungkin petanda tak baik pemilik kucing perlu tahu

Bagi mereka yang mahu mencuba petua tersebut, wanita berkenaan menyenaraikan beberapa bahan yang diperlukan iaitu:

- Serai

- Lemon

- Kulit kayu manis

- Bunga lawang

- Bunga cengkih

- Esen vanilla

Cara menghasilkan air rebusan

1. Kesemua bahan tersebut hanya perlu dimasukkan ke dalam sebuah periuk sebelum direbus sehingga mendidih. Tiada sukatan khusus, hanya perlu mengagak bahan dengan sukatan air.

2. Selepas mendidih, tutup api dan biarkan air rebusan berkenaan di dalam periuk.

3. Aroma daripada bahan-bahan tersebut dikatakan akan membantu memenuhi ruang kediaman dengan bau yang lebih wangi dan menyegarkan.

4. Apabila aroma semakin berkurangan, air boleh ditambah semula dan bahan-bahan tersebut direbus sehingga mendidih sekali lagi.

Walaupun petua ini dikongsi sebagai salah satu cara membantu mengurangkan bau kurang menyenangkan di rumah, pemilik kucing juga perlu memastikan punca bau seperti kotak pasir, najis, air kencing dan kawasan yang sering digunakan si bulus dibersihkan secara berkala.

Bagaimanapun, bagi mereka yang gemarkan kaedah menggunakan bahan semula jadi dan mahukan rumah beraroma segar, petua air rebusan ini mungkin boleh dijadikan salah satu ikhtiar. Selamat mencuba!

Artikel Lain