suria

Pelajar Lemas Di Sungai Pahang Ditemui Mati

TEMERLOH: Mayat remaja lelaki yang lemas semasa mandi manda di Sungai Pahang dekat Kampung Bangau Parit di sini petang semalam, ditemui tersangkut pada pukat ikan di dasar sungai itu oleh penduduk Kampung Tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daearah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata mayat Mohd Fariz Daniel Mat Jaafar, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, ditemui kira-kira 12 tengah malam.

"Mayatnya ditemui tersangkut pada pukat ikan penduduk kampung di dasar sungai di kawasan beliau dilaporkan tenggelam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata mayat Mohd Fariz Daniel kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat.

Mangsa yang tinggal di Taman Sri Keningau, mandi manda di sungai itu bersama-sama tujuh rakannya pada kira-kira 6.15 petang semalam. Beliau dipercayai berenang ke tengah sungai itu, kira-kira 25 meter dari tebing, sebelum dilihat rakannya hilang ke dasar sungai. BERNAMA

Artikel Lain