suria

Dua Ditahan Ceroboh Empangan Machap

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua menahan dua lelaki tempatan di Empangan Machap, Kluang, Johor petang semalam kerana dipercayai menceroboh dan menggunakan peralatan jenis karan elektrik untuk menangkap ikan.

Komander pasukan itu, ACP Zainul Abidin Hasan berkata mereka berdua ditahan ketika menangkap ikan pada kira-kira pukul 2 petang. Masing-masing berusia 47 dan 50 tahun.

Turut dirampas sebuah tong ais batu, satu set batang pancing dan empat kilogram ikan air tawar.

"Tangkapan ini adalah kes pertama melibatkan pencerobohan dalam kawasan empangan dan menggunakan peralatan yang melanggar syarat atau peraturan yang ditetapkan Jabatan Perikanan," kata Zainul Abidin dalam kenyataan pada Isnin.

Kedua-dua lelaki itu dan peralatan yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Daerah Kluang untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain