suria

Wee Bidas Tuduhan Kit Siang Berhubung Video ' Onederful Malaysia'

MUAR: Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong membidas tindakan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang menuduh beliau dan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menterjemahkan klip video anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyindir, antara lain pemimpin negara dan sistem pendidikan.

Beliau berkata ini menunjukkan Lim tidak menonton klip video bertajuk 'Onederful Malaysia' itu yang turut memuatkan sari kata Bahasa Malaysia bagi tontonan rakyat Malaysia.

"Perbuatan Teresa Kok itu tidak menggambarkan budaya orang Cina yang menyambut ketibaan Tahun Baharu dengan mengharapkan tahun ini membawa kepada sesuatu yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Daerah Muar di Sekolah Tinggi Chong Hwa di sini malam Sabtu. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Wee berkata dalam budaya masyarakat Cina sentiasa berdoa agar mendapat kesejahteraan, bukan melakukan perbuatan menyindir orang seperti yang dilakukan oleh Kok.

Mengenai mesyuarat agung luar biasa MCA pada 22 Feb ini, beliau berkata terpulang kepada 1,934 perwakilan untuk membuat keputusan sama ada parti itu akan ada wakil dalam kerajaan Barisan Nasional. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain