suria

Hari Pertama Bancian Berjalan Lancar, Melibatkan 1,700 Rumah - Esscom

SANDAKAN: Hari pertama bancian di perkampungan air di sini pada Sabtu membabitkan 1,700 rumah di dua kampung, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek.

Beliau berkata operasi yang membabitkan 171 pembanci di Kampung Muhibbah dan Forest itu berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini mahupun ancaman keselamatan.

"Operasi bancian bermula 8.30 pagi hingga 4 petang. Kita berjaya membanci sekitar 1,700 rumah daripada 4,982 yang perlu dibanci di empat buah kampung," katanya dalam kenyataan, di sini Ahad.

Operasi empat hari itu akan turut melibatkan Kampung Mangkalinau dan Cahaya Baru.

"Hari ini, kita mulakan operasi bancian di Kampung Cahaya Baru. Berdasarkan anggaran awal terdapat sekitar 1,688 rumah di kampung air ini, dan kita juga akan meneruskan bancian di Kampung Muhibbah.

"Jika semuanya berjalan dengan baik dan cuaca mengizinkan, kita yakin dapat menyiapkan bancian dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sambil mengharapkan penduduk dan ketua kampung serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung memberi kerjasama penuh, Mohammad berkata program itu bertujuan mengumpul maklumat mengenai bilangan rumah, penduduk, rumah keluarga serta demografi penduduk warganegara dan bukan warganegara.

Katanya Sandakan merupakan satu daripada tiga daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang dipilih sebagai projek perintis program itu.

Dua lagi ialah Semporna dan Lahad Datu.

Beliau berkata hasil maklumat bancian itu akan membantu pihaknya dan kerajaan merancang program penempatan semula penduduk dengan lebih baik.

Esszone yang diwujudkan kerajaan susulan pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas, merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain