suria

Polis Kelantan Perhebat Operasi Tangani Senjata Api Tiruan, Buatan Sendiri

KOTA BAHARU: Polis Kelantan akan memperhebat operasi menangani kes melibatkan senjata api tiruan dan buatan sendiri di negeri ini kerana khuatir ia digunakan untuk kegiatan jenayah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata 26 kes melibatkan rampasan senjata seumpama itu direkodkan tahun lepas, berbanding 15 pada 2012.

"Sejak Januari lepas hingga sekarang, terdapat 14 kes melibatkan rampasan pistol tiruan dan senjata api buatan sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Rabu.

Jalaluddin berkata pemilik senjata berkenaan perlu melupuskannya segera sebelum tindakan diambil.

Individu yang memiliki senjata tiruan dan senjata api buatan sendiri tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Individu yang memiliki peluru tanpa lesen yang sah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada majlis Rabu, lapan kenderaan MPV Nissan Navara diserahkan untuk kegunaan polis di Jeli, Pasir Mas, Gua Musang dan Tanah Merah.

"Kita beri kenderaan ini kepada balai polis di kawasan pedalaman kerana kebiasaannya jalan di situ berbukit dan sukar dilalui kenderaan biasa," jelas Jalaluddin.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Digilis Kereta Api

Artikel Lain