suria

BN Sarawak Terima Keputusan Taib Untuk Bersara

KUCHING: Kesemua empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Ahad mencapai kesepakatan untuk menerima keputusan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk meletak jawatan dan menyokong sesiapa sahaja yang beliau pilih menggantikannya.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Taib sebagai presiden, kesepakatan itu disuarakan menerusi presiden parti komponen BN lain iaitu Tan Sri Dr James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Tan Sri William Mawan Ikom (Parti Progresif Demokratik Sarawak) dan Tan Sri Peter Chin (Parti Rakyat Bersatu Sarawak).

"Kesemua pemimpin bersetuju untuk bekerja keras sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada 2016 dan Yang Amat Berhormat Pehin Sri (Taib) memberi jaminan beliau sentiasa sedia untuk memberi nasihat kepada kami," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tertutup antara Taib dan pemimpin berkenaan serta anggota Dewan Tertinggi BN di ibu pejabat PBB di sini.

Taib, menurut Dr Rundi, menegaskan bahawa tiga pemimpin PBB; Timbalan Presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Anggota Majlis Tertinggi Tan Sri Adenan Satem merupakan bakal penggantinya.

Ditanya sama ada pengumuman Taib pada Sabtu membayangkan tarikh khusus persaraan dan bakal penggantinya, Dr Rundi menjawab: "Hanya Tuhan dan beliau (Taib) saja yang tahu."

Dr Rundi berkata, sungguhpun ada antara anggota yang menghadiri mesyuarat itu menyuarakan permintaan agar Taib terus memegang jawatan, pada akhirnya persetujuan dicapai secara umum untuk menghormati keputusan dan kewajaran beliau.

Ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian yang ketika ini disandang Taib sekiranya beliau bersara, Dr Rundi berkata, pilihan raya kecil itu akan diadakan jika Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan ia perlu diadakan.

Beliau berkata Taib turut memberi jaminan beliau berkeyakinan penuh terhadap sesiapa sahaja yang akan beliau pilih menggantikannya sebagai ketua menteri Sarawak.

"Beliau (Taib) memberi jaminan kepada kami bahawa penggantinya akan meneruskan usaha untuk memajukan dan melindungi kepentingan negeri ini," kata Dr Rundi. - BERNAMA

Artikel Lain