suria

Aliran Trafik Di Ibu Negara Lancar Di Lebuhraya Plus

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari ibu negara ke arah utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan lancar setakat 10 pagi Khamis.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Sdn Bhd berkata bilangan kenderaan dijangka bertambah pada petang ini apabila orang ramai mula pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Setakat ini, aliran trafik masih lancar termasuk di sepanjang Jambatan Pulau Pinang, Slim River menghala ke Simpang Pulai, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah menghala ke Ipoh dilaporkan berjalan lancar," katanya ketika dihubungi Bernama Khamis.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik di sepanjang lebuh raya di kedua-dua arah termasuk Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong masih terkawal.

"Kecuali aliran trafik dari arah Utara iaitu Slim River menuju Sungkai terus ke Bidor sesak manakala Tapah ke Gopeng trafik perlahan," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain