suria

KP Imigresen Dilantik KSU KPDNKK

Alias
Alias

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Alias Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mulai 5 Feb depan.

Alias, 55, dinaikkan pangkat ke Gred Utama Turus III bagi menggantikan Datuk Saripuddin Kassim yang dilantik menjadi ketua setiausaha baharu Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan serta Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya dan mula dilantik ke Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan pada Rabu berkata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Aloyah Mamat dilantik bagi menggantikan Alias mulai tarikh yang sama.

Aloyah, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Sains Malaysia dan dilantik ke Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989.

Saripuddin pula menggantikan Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam, mulai 13 Jan lepas.

Ali berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki ketiga-tiga pegawai kanan kerajaan itu.

"Saya berkeyakinan bahawa ketiga-tiga pegawai yang dilantik ini akan berkhidmat dengan penuh integriti dan profesional untuk menjana perspektif, pendekatan dan inisiatif baharu yang dapat menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam menjayakan wawasan, aspirasi dan agenda transformasi negara ke arah menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain