suria

Lembah Klang Catat Pengurangan Jarak Penglihatan Yang Baik

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Lembah Klang yang mengalami keadaan udara kelihatan berjerebu petang semalam telah mencatatkan pengurangan jarak penglihatan yang baik pada Isnin.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan hari ini berkata laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menyatakan kawasan tersebut iaitu Sepang, Petaling Jaya dan Subang mencatatkan pengurangan jarak penglihatan yang baik iaitu melebihi 10 kilometer berbanding sejauh empat kilometer hingga lapan kilometer pada 5 petang Ahad.

Katanya pengurangan jarak penglihatan yang menyebabkan ruang udara kelihatan berjerebu itu disebabkan kehadiran habuk halus atau partikel udara yang terampai dalam keadaan cuaca semasa yang kering.

"Habuk halus atau partikel udara yang terampai merupakan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera daripada pelbagai punca aktiviti manusia, antaranya pelepasan kenderaan bermotor, perindustrian, aktiviti pembangunan tanah dan pembinaan.

"Sehingga kini, tiada sebarang pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara berlaku di kawasan Lembah Klang," katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan METMalaysia, sejak beberapa hari lalu, pergerakan angin di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia adalah perlahan dengan halaju 10km sejam dan keadaan atmosfera adalah stabil.

"Faktor-faktor cuaca ini dan keadaan topografi kawasan Lembah Klang yang bercirikan lembah menyebabkan habuk halus atau partikel udara yang terampai terperangkap di ruang udara dan tidak dapat menyebar dengan cepat," katanya.

Katanya METMalaysia turut melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang iaitu daerah Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Sepang masih tidak menerima hujan melebihi lima hari berturut-turut sejak 22 Januari lepas.

Katanya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada Ahad adalah dalam keadaan baik dan sederhana di seluruh negara dan tiada kawasan yang mengalami bacaan IPU tidak sihat.

Sehubungan itu, katanya keadaan berjerebu yang dialami pada petang semalam merupakan fenomena cuaca biasa dan tidak menjejaskan kesihatan orang awam.

Menurut kenyataan itu, bacaan IPU yang direkodkan pada jam 11 pagi Isnin menunjukkan 28 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 24 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Katanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.

Katanya JAS turut mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka selain melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain