suria

Komando VAT69 Terpaksa Balas Tembakan Penceroboh

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin diberitahu bahawa pasukan Komando VAT69, yang ditugaskan untuk melaksanakan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas, terpaksa membalas tembakan penceroboh setelah mereka terlebih dahulu ditembak pihak berkenaan.

Koperal Azman Ampong, 39, yang ditugaskan di Sektor C memutuskan untuk membalas tembakan itu selepas beliau dan rakan-rakannya ditembak oleh penceroboh, walaupun ketua pasukannya tidak memberi arahan.

Ketika ditanya peguam Datuk N.Sivananthan sama ada beliau membuat keputusan sendiri untuk membalas tembakan itu, saksi keempat itu menjawab: "Ya".

Semasa tembakan itu, katanya beliau dan rakannya Koperal Mohd Tarmizi Hashim yang berada di hadapan pasukan itu, telah memulakan tembakan itu Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lepas.

Azman berkata tembakan itu berlaku kira-kira dua minit dan mereka bukan sahaja ditembak oleh dua orang penceroboh, malah beberapa penceroboh lain dari semua arah.

"Sejurus itu, kami terus meminta bantuan dan kami menerimanya daripada anggota Sektor D yang tiba di tempat itu kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian," katanya sambil menambah tembakan itu berterusan sehingga pasukan D tiba.

Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Stephen Chung, Azman berkata keseluruhan pasukan itu berada kira-kira 30 hingga 60 kaki di belakang beliau dan Mohd Tarmizi.

Menurutnya dua letupan juga berlaku kira-kira dua minit di hadapannya dan Mohd Tarmizi.

Ketika ditanya Sivananthan sama ada beliau menerima sebarang arahan daripada ketua pasukannya DSP Anwar Rosli menerusi walkie-talkie semasa tembakan itu bermula, Azman berkata "ya, arahannya ialah supaya berundur".

Sivananthan : Tidak ada arahan langsung untuk membalas tembakan penceroboh sebaliknya hanya berundur. Adakah arahan supaya berundur nampak pelik bagi anda?

Azman : Tidak.

Sivananthan : Adakah anda melapor kepada ketua pasukan bahawa anda telah ditembak?

Azman : Saya tidak sempat membuat laporan (itu).

Azman menjelaskan bahawa arahan itu juga bertujuan mengelakkan pertempuran dalam semua bentuk pada tahap yang maksimum selain untuk memantau dan menilai situasi itu.

Menurutnya DSP Anwar langsung tidak memberi sebarang arahan untuk memulakan tembakan terhadap para penceroboh itu.

Ketika diasak oleh Sivananthan mengenai maksud seorang lelaki (penceroboh) yang memegang sebatang kayu berserta kertas putih bersaiz A4, adakah dalam peperangan ia membawa maksud sebagai mewakili bendera putih, saksi itu menjawab "tidak".

Sivananthan : Apa yang anda faham apabila seorang penceroboh membawa sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4? Azman : Saya tidak tahu niat dia.

Azman berkata ini kerana, seorang daripada penceroboh itu membawa sebilah parang yang diselitkan di pinggangnya manakala dua lagi rakannya membawa senjata api dan menghalakannya ke arah beliau dan Tarmizi.

Azman juga tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa para penceroboh itu sebenarnya mahu menyerah diri kerana seorang daripada mereka memegang sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4 dan mereka tidak memulakan sebarang tembakan pada hari itu.

Semasa menjawab soalan Sivananthan, saksi itu juga berkata beliau tidak tahu bahawa sepanjang tempoh pasukannya berada di Kampung Tanduo, pihak berkuasa Malaysia dan pihak penceroboh sedang berunding untuk menyelesaikan isu itu secara aman.

Azman juga tidak bersetuju bahawac arahan yang diberikan oleh DSP Anuar pada 18 Februari tahun lepas adalah untuk mencari penceroboh dan memulakan serangan ke tas mereka.

Saksi itu turut memberitahu bahawa pasukannya telah dibekalkan dengan peluru 5.56mm manakala pasukan sokongan diberikan peluru 7.62 mm semasa tembakan itu, dan beliau dan Mohd Tarmizi membawa 'M16'.

Sebanyak 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan masing-masing antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan itu, yang dikendalikan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain