suria

Tony Fernandes Diiktiraf 'Pemimpin Industri Penerbangan'

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dianugerahi "Pemimpin Industri Penerbangan Tahun ini" pada Aviation 100 Awards yang berlangsung di Dublin, Ireland, Rabu.

Dalam kenyataannya pada Khamis, AirAsia berkata Fernandes diiktiraf atas usahanya meluaskan sempadan dalam industri penerbangan.

Fernandes berkata kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha keras dan sifat dedikasi hampir 12,000 AirAsia AllStars.

"Ini merupakan perjalanan yang hebat bagi kami sepanjang mengendalikan AirAsia selama 12 tahun lepas. Kami telah berkembang daripada syarikat penerbangan yang berhutang semasa Kamarudin dan saya mengambil alih syarikat 10 tahun yang lalu, kepada jenama bertaraf global, dengan nilai modal pasaran RM6 bilion pada hari ini," katanya.

Aviation 100 Awards diadakan setiap tahun dan memasuki edisi keempat tahun ini.

Anugerah ini merupakan keputusan kaji selidik selama empat bulan dalam kalangan eksekutif industri penerbangan global termasuk pemajak, badan kewangan, firma perundangan dan pembuatan, membabitkan hampir 11,000 profesional. - BERNAMA

Artikel Lain