suria

Kementerian Luar Terus Pantau Kes Pasangan Malaysia Di Sweden

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan terus memantau kes kakitangan Tourism Malaysia dan isterinya yang kini ditahan reman di Sweden selain menghulurkan bantuan sewajarnya kepada pasangan itu dan anak-anak mereka.

Menurut kenyataan kementerian itu, pegawainya terus bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm dan maklumat berhubung penahanan pasangan itu sentiasa dikemas kini.

Kenyataan itu juga menyebut, kedutaan serta Duta Besar Malaysia ke Sweden berusaha dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu yang berkaitan bagi memastikan hak pasangan suami isteri berkenaan terpelihara.

Pihak berkuasa tempatan Sweden juga memberi kerjasama sepenuhnya berhubung kes itu, demikian menurut kenyataan berkenaan.

Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Dis untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Tahanan reman pasangan itu dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Artikel Lain