suria

Status Negara Maju Berdasar Syiar Dan Syariat Islam - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 dan menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan negara dalam usaha mengembangkan Islam dan mengamalkan demokrasi, telah mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia termasuk pemimpin Turki yang melawat Malaysia baru-baru ini.

Minggu lepas, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Najib berkata beriltizamkan sirah Rasulullah, kerajaan akan terus mempertahan kesucian agama Islam daripada dicemari dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya menyeru kepada rakyat, keharmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama kita bina bersama, harus dikekalkan. Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1435H Selasa, yang dimuatkan dalam laman blog www.1malaysia.com.my Isnin.

Najib berkata sambutan itu yang bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' merujuk kepada hakikat bahawa wasatiyyah berpaksikan kepada keadilan sosial, keunggulan atau kecemerlangan dan keseimbangan serta kesederhanaan.

"Wasatiyyah bukanlah bererti mundur, ambil mudah dan pendekatan ekstrem yang boleh menggugat kestabilan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara.

"Justeru, wasatiyyah adalah tonggak kepada segalanya, yang merupakan penentu kemakmuran, keharmonian dan kesatuan sesebuah bangsa atau ummah," katanya.

Pada masa yang sama, Najib berharap sambutan itu sempena memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah dalam membangunkan negara tercinta ini.

Beliau berkata Al-Quran dengan indah telah merakamkan betapa kerisauan, kesungguhan dan gelora kasih sayang baginda untuk melihat setiap umat manusia dapat bernaung di bawah rahmat keimanan dan agama Islam yang suci.

"Makanya, rahmat Iman dan Islam yang diperjuangkan Rasulullah SAW ini, perlulah diteruskan dan disebarkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain