suria

Pahang Akan Terima Sumbangan RM32 Juta Dari UAE

KUANTAN: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memberikan sumbangan berjumlah US$10juta (RM32 juta) kepada Kerajaan Pahang bagi menangani kesan banjir buruk baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sumbangan itu adalah tanda persahabatan dan kerjasama akrab antara Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Abu Dhabi Shaik Mohamad.

"(Hubungan itu) telah menyebabkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbangkan US$10 juta untuk kerajaan negeri (Pahang) bagi menangani kerja-kerja dan kesan masalah banjir baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian membekalkan guru-guru bahasa Arab antara Yayasan Khalifah Zayed Al Nahyan, UAE dengan Jabatan Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Jaip) di sini, Isnin.

Adnan berkata dalam masa terdekat ini juga perwakilan dari UAE akan melawat Pahang untuk menilai kesan-kesan akibat banjir bagi menentukan bentuk bantuan lain yang akan disampaikan nanti.

Berkenaan bantuan banjir kepada mereka yang ditimpa musibah itu di Pahang, Adnan berkata bantuan akan disalurkan selepas pengumpulan senarai penerima selesai.

"Cadangan awal 12 atau 13 Januari, tapi saya minta tangguh dulu, kalau kita bagi ada yang tak dapat lagi akan bising, sebenarnya mereka akan dapat juga jadi (bagi mengelakkan perkara itu berlaku) kita cari tarikh yang sesuai," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri amat prihatin dan sedar bahawa ramai mangsa banjir hilang harta benda akibat bencana itu dan perit bagi memulakan kembali kehidupan.

Banjir buruk awal Disember tahun lepas menyebabkan lebih 40,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan di sembilan daerah terjejas selain turut meragut tiga nyawa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain