suria

Perkasa Cadang Kerajaan Adakan Referendum Berkaitan ISA

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa mencadangkan kerajaan mengadakan referendum untuk mengetahui pendirian rakyat berhubung keperluan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata langkah itu perlu susulan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menimbulkan isu sensitif selepas ISA dimansuh dan tidak dapat ditahan pihak berkuasa.

"Referendum ini boleh dibuat seperti pengundian bertujuan menentukan sama ada majoriti rakyat bersetuju atau tidak jika dikembalikan semula ISA, dan ia perlu dilakukan secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Anggota Dewan Tertinggi Perkasa penggal 2013-2016 di sini Ahad.

Kerajaan memansuhkan ISA pada 2011.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyarankan ISA diwujud semula bagi menangani kumpulan ekstremis yang ingin menjejaskan kestabilan negara.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata ketiadaan undang-undang seperti ISA menyebabkan polis sukar bertindak kerana sudah tidak ada lagi instrumen berkesan bagi tujuan pencegahan jenayah.

"Undang-undang sedia ada seperti Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menggantikan ISA masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti yang bersangkut paut dengan keselamatan.

"Saya rasa Akta Pencegahan Jenayah pun tidak mencukupi... tapi kalau ada undang-undang pencegahan macam ISA dulu, jika seseorang itu sedang merancang untuk melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan negara, dia boleh ditahan," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata Perkasa melalui biro undang-undangnya dijangka menganjurkan satu wacana bulan depan berhubung kepentingan pencegahan jenayah, yang disertai bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain