suria

MCA Perak Akan Bertemu MB Berhubung Pelantikan Ahli Majlis

Dr Mah Hang Soon
Dr Mah Hang Soon

IPOH: Jawatankuasa Perhubungan MCA Perak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk membincangkan beberapa perkara penting yang perlu diselesaikan.

Ketua MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata salah satu isu yang perlu ditangani segera adalah pelantikan ahli majlis perbandaran dan daerah di negeri ini pada tahun ini.

"Oleh kerana exco negeri telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah ahli majlis, kita perlu membincangkan tentang pelantikan bagi jawatan itu secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri di ibu pejabat MCA negeri di sini, Sabtu.

Dr Mah berkata jumlah bilangan ahli majlis yang diperuntukkan kepada MCA telah dikurangkan dari 91 kepada 60.

"Selain MCA, ahli majlis yang mewakili parti politik lain juga terjejas dengan langkah itu," katanya.

Mengenai pelantikan barisan badan perhubungan Umno negeri MCA yang baharu, Dr Mah mengumumkan bahawa Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Datuk Seri Kuan Peng Soon dilantik sebagai penasihat.

Katanya timbalan pengerusi MCA adalah Datuk Ooi Jing Ting dan Datuk Ho Cheng Wang.

Empat naib pengerusi, katanya, adalah Datuk Tan Chin Meng, Datuk Yew Tuan Chiew, Chang Chun Chuen dan Lim Poh Kuang.

Artikel Lain