suria

TMM 2014: Malaysia Sudah Sedia 'Pukau' Pelancong - Muhyiddin

Muhyiddin (dua, kiri) merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam Sabtu. Turut hadir Mohamed Nazri (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng.-fotoBERNAMA
Muhyiddin (dua, kiri) merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam Sabtu. Turut hadir Mohamed Nazri (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng.-fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) sudah bersedia menawarkan pengalaman indah dengan pelbagai produk untuk memenuhi keperluan dan citarasa kira-kira 28 juta sasaran pelancong asing dan domestik.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selain kekayaan khazanah semula jadi alam flora dan fauna, terdapat juga pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan yang dapat memenuhi selera mana-mana pelancong yang datang ke negara ini.

"Ini termasuk produk dan perkhidmatan tambahan di bawah tema penting seperti membeli-belah mewah berpatutan, pengembaraan ekopelancongan, pelancongan kesihatan, keseronokan keluarga, acara-cara bersepadu utama dan pelancongan perniagaan," katanya pada pelancaran TMM 2014 di Dataran Merdeka, malam Sabtu.

Majlis berwarna-warni itu turut dihadiri isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Muhyiddin berkata TMM 2014 akan bertindak sebagai jambatan persahabatan serta menggalakan pemahaman secara lebih dekat pelbagai budaya dan warisan.

Selain manfaat sosio budaya, hasil ketara boleh digariskan daripada perspektif ekonomi dengan harapan untuk menjana pendapatan RM76 bilion, hasil perbelanjaan pelancong pada tahun ini, katanya.

Beliau berkata jumlah ini merupakan peningkatan ketara sebanyak RM11 bilion daripada hasil pertukaran mata wang asing.

"Setelah digariskan impak besar dalam industri pelancongan, saya berharap ini akan menjadi motivasi dan satu seruan kepada kita semua untuk menawarkan yang terbaik kepada pelancong dalam memastikan TMM 2014 mencapai satu kejayaan luar biasa," kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai matlamat menjadi destinasi pelancongan utama dunia khususnya selepas buku panduan pelancongan Lonely Planet 'Best In Travel 2014' mengiktiraf Malaysia sebagai antara 10 negara yang perlu dikunjungi oleh pelancong daripada dari seluruh dunia.

Menurut laporan CNN Travel 2013, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandar raya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London dan tiga pulau dan pantai Pulau Perhentian Kecil, Pantai Juara dan Tanjung Rhu disenaraikan antara 50 Pantai Utama Dunia dalam senarai 100 Pantai Terbaik Dunia.

"Di mata dunia, pengiktirafan ini menjadi testimoni Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," kata Muhyiddin.

Beliau meminta semua rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab bagi memastikan tetamu asing ke negara ini diberi layan terbaik dengan penuh hormat dan berbudi bahasa.

Timbalan Perdana Menteri itu juga memberi jaminan bahawa Malaysia adalah destinasi pelancongan yang selamat dan ini boleh dilihat dengan kepelbagaian kumpulan etnik yang hidup harmoni dengan ikatan persaudaran dan perpaduan yang kukuh.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil langkah bagi memastikan keselamatan pelancong dengan menempatkan anggota polis di kawasan tumpuan pelancong.

"Untuk tetamu dan pelancong kami, izinkan saya untuk sekali lagi mengalu-alukan anda untuk meraikan TMM 2014. Biarkan rakyat Malaysia yang mesra dan peramah memukau imaginasi dan hati anda untuk membawa pulang kenangan indah semasa berada di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain