suria

TMM 2014 Tidak Akan Terjejas Dengan Perhimpunan Haram - Nazri Aziz

Nazri Aziz menandatangani plak perasmian pembukaan francais Restoran Bar B Q Tonight sambil diperhatikan oleh pemilik dan pengasas Restoran Bar B Q Tonight Sardar Abdul Rahim (kanan) di The Weld, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 tidak akan terjejas dengan perhimpunan haram yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka di sini malam Selasa.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan pelancong asing telah mengenali budaya negara ini dan mempunyai pandangan serta pemikiran positif terhadap Malaysia.

"Saya tidak fikir akan menjejaskan usaha TMM 2014. Lagi pun pelancong asing yang hendak melawat ke Malaysia tahun hadapan sudah buat 'booking' (tempahan)lebih awal dan antara kelebihan Malaysia adalah kerana rakyatnya fasih berbahasa Inggeris termasuk di kampung-kampung dan kedua, rakyat Malaysia juga dikenali secara semulajadi bersifat mesra.

"Sifat mesra dan suka membantu, tambahan dengan tarikan produk-produk pelancongan kita lagi yang sekali gus semua faktor ini menyebabkan Malaysia terkenal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Bar.B.Q Tonight di sini, Isnin.

Sempena TMM 2014, Malaysia menyasarkan kehadiran 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM76 bilion.

Mengulas mengenai penganjuran perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan itu, Mohamed Nazri berkata ia boleh dilabelkan seperti sikap 'kebudak-budakan' yang cuba untuk menggugat keharmonian negara ini tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Beliau berkata rakyat negara ini sudah bosan dengan tindakan pakatan pembangkang yang dilihat sentiasa mencari kesalahan kerajaan sedia ada sehingga gemar membuat demonstrasi jalanan.

"Benda ini selalu sangat dah, dan orang pun sudah tidak kisah sangat. Ini perangai 'kebudak-budakan'. Jadi saya rasa rakyat Malaysia pada umum majoritinya sudah bosan dengan perbuatan 'keanak-anakan' ini.

"PRU (pilihan raya umum) pun sudah habis, dah kalah tetap kalah. Dunia lihat keadaan macam mana yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan juga yang terkini di Thailand. Saya tidak fikir rakyat negara ini mahu keadaan yang sama berlaku di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain