suria

Sistem Majoriti Mudah Terbaik Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR: Sistem 'First Past the Post' atau majoriti mudah dalam proses pilihan raya adalah yang terbaik dan sesuai diamalkan di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata hal ini kerana sistem ini sesuai dipratikkan di negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan mudah difahami oleh kebanyakan rakyat di negara ini.

"Sistem ini (First Past the Post) terbukti dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum sejak diamalkan selepas kemerdekaan.

"Kerajaan belum bersedia untuk menerima sistem 'Proportionate Representation' yang mana mengambil kira undi popular kerana sistem yang sedia ada masih relevan untuk diamalkan dalam pilihan raya," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai).

Dr Mohd Hatta ingin tahu sama ada kerajaan sedia menerima cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi mengkaji pelaksanaan sistem 'Proportionate Representation' bagi menggantikan sistem 'First Past the Post' dalam proses pilihan raya di negara ini. Menurut Shahidan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih mengkaji kesesuaian sistem 'Proportionate Representation' sebelum keputusan muktamad diumumkan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Mohd Hatta mengenai pengalaman pelaksanaan sistem 'First Past the Post' pada pilihan raya lepas yang tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat yang mendapat undi popular terbanyak, Shahidan berkata setakat ini kebanyakan negara Komanwel telah melaksanakan sistem itu dan terbukti berkesan dan disokong oleh rakyatnya.

"Jika sistem 'popular vote' belum dilaksanakan maka kamu semua belum boleh komen lagi, setakat ini sistem 'First Past the Post' telah terbukti kerelevanannya dan kami merasakan sesuai kerana ia telah dilaksanakan selepas zaman kemerdekaan lagi.

"Sistem baharu jika mahu dilaksanakan perlu dikaji dahulu, sekarang jawatankuasa khas parlimen telah mencadangkan 22 perkara untuk penambahbaikan proses pilihan raya dan kami telah melaksanakan lapan daripadanya, setakat ini guna pakai yang sistem ini dulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain