suria

Jangan Terpengaruh Tuduhan 'Dunia Hiburan Sesat' Abby Abadi

Abby Abadi
Abby Abadi
Abby Abadi

ADOIII…

SAYA kalau boleh tak mahu sentuh apa-apa mengenai pelakon Abby Abadi. Sebabnya... tak dapat apa-apa faedah pun melayan artis ini.

Cuma saya terpanggil untuk menegur Abby selepas membaca laporan mengenai ceramah politiknya di Kampung Dulang Kechil, Yan Kedah pada 26 Oktober lalu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang berlangsung pada 4 November 2013.

Dalam ceramah itu Abby berkata gejala maksiat yang berleluasa dalam dunia hiburan tanah air adalah kerana Umno. Parti itu menjadi punca dunia hiburan menjadi sesat.

Saya tergelak seorang diri membaca laporan itu... Dia sesat sehingga ke Sungai Limau untuk meracun fikiran rakyat dengan cerita yang tidak betul.

Abby mendakwa, semasa dia berlakon dulu, dia tak pernah berfikir sangat tentang dosa dan pahala.

Saya percaya, kalau dahulu, Abby memang tidak akan fikirkan dosa dan pahala. Sebab itu dia tak pernah hirau kesalahan yang dibuatnya.

Atas sebab itu juga dia tidak rasa berdosa menyerang dan memalukan suaminya Norman Hakim (sekarang bekas suami) di khalayak. (Saya turut berada sama semasa insiden itu dan sama-sama bersubahat dengan Abby untuk menyerang Norman. Saya harap Norman dapat maafkan saya).

Malah semasa hari Abby bernikah, Abby juga menipu saya kononnya tiada majlis nikah berlaku antara dia dengan Norman sedangkan majlis berkenaan sememangnya berlangsung.

Tetapi itu cerita dulu. Bila Abby sudah berhijrah dan memakai tudung, saya berharap dia akan berubah menjadi lebih baik berbanding ketika dia berada dalam dunia yang didakwanya ‘sesat’ itu tetapi sayang sekali Abby menjadi semakin teruk.

Mulutnya bertambah ‘laser’. Menghina, mengutuk itu dan ini. Semuanya jahat pada mata beliau.

Dunia hiburan juga bagi Abby kotor dan jijik tetapi Abby tidak pernah sedar, sebahagian daripada darah dagingnya adalah hasil wang yang diterima ketika bergelar pelakon serta ketika dia bersama Elite.

Saya ingin Abby dan pembaca semua tahu, dunia hiburan di negara ini berkembang tanpa kaitan dengan politik. Soal halal-haram seseorang terletak kepada individu itu sendiri.

Tahu atau tidak, dunia hiburan kita ketika ini adalah lebih baik berbanding 20 tahun dulu. Tidak ada lagi adegan berkemban yang kita lihat dalam filem-filem Melayu sekarang.

Malah kerajaan juga membenarkan lesen saluran televisyen dan radio berasaskan agama Islam dibuka antaranya TV Al-Hijrah, Astro Oasis dan juga radio Ikim.

Kesemua ini memberi ruang untuk artis-artis berhijrah terlibat dalam drama-drama yang mahu disarikan menerusi saluran berkenaan.

Dapat dilihat juga artis-artis muda sekarang ramai yang sudah bertudung litup dan terlibat dengan ceramah-ceramah agama.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk artis-artis berhijrah juga diwujudkan iaitu Usrah Fitrah yang dianggotai oleh beberapa nama seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Siti Nordiana, Zoey Rahman, Heliza dan Sufian (Saujana) bertujuan memberi panduan terbaik kepada golongan remaja terhadap hiburan dan Islam.

Ini adalah contoh bagaimana dunia hiburan ketika ini berkembang berbanding dahulu.

Dunia hiburan tidak sesat tetapi pemain di dalamnya yang sesat jika individu berkenaan tidak mahu berubah tidak kiralah kerajaan dari parti mana sekali pun yang memerintah.

Sebab itulah saya meminta orang ramai jangan mudah mempercayai dakwah songsang sesetengah pihak kerana mereka ibarat tuba yang cuba meracun fikiran rakyat dengan fakta-fakta yang tidak benar sama sekali.

Dalam satu ceramah bersama Ustaz Azhar Idrus, yang pernah disertai sendiri oleh Abby, pendakwah tersohor itu ada berpesan agar sesiapa yang berhijrah jangan sesekali menghentam kawan-kawan yang masih belum berbuat demikian.

Kata-kata Ustaz Azhar itu disambut oleh Abby dengan nada kurang senang apabila dia mendakwa Ustaz Azhar cuba menyindirnya (boleh cari rakaman itu di YouTube).

Ini antara contoh pemikiran Abby Abadi yang tidak boleh diterima pakai.

Adalah amat malang apabila PAS mempunyai ahli seperti ini yang akan mengotorkan nama parti itu sendiri.

NIEZAM: Simpati dengan nasib Hairie Othman yang patah hati dengan Pakatan Rakyat gara-gara tidak mendapat layanan pakatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Artikel Lain