suria

Memahami Liberalisme

SEJAK kebelakangan ini banyak pihak yang menggunakan perkataan “liberal”. Ramai yang mengkritik konsep tersebut berasbabkan perkara-perkara yang sebenarnya tiada kaitan dengan liberalisme.

Ada juga yang melabelkan individu tertentu sebagai liberal, walaupun individu itu sebenarya bukan liberal pun.

Tidak mudah untuk menghilangkan kekeliruan mengenai liberalisme. Tetapi kali ini saya ingin mencuba.

Perkataan ‘liberal’ telah banyak disalah ertikan sehingga maksudnya kini tidak begitu jelas.

Di Amerika Syarikat, perkataan ini telah dicuri oleh golongan yang mahukan kerajaan campurtangan dalam banyak perkara, seperti para pengikut Parti Demokrat.

Di Malaysia pula ada pihak yang cuba mengatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah liberal. Kedua-dua ini salah dan tidak melambangkan fahaman liberalisme yang klasik.

Di Malaysia, semua parti politik arus perdana tidak mempunyai falsafah politik yang konsisten, manakala di Amerika pula Parti Demokrat adalah parti sosialis demokrat.

Liberalisme klasik adalah terma yang biasa digunakan di Eropah untuk satu falsafah yang dikenali sebagai libertarianisme di Amerika Syarikat.

Memang ada perbezaan jika kita kaji dengan mendalam mengenai liberalisme klasik dan libertarianisme, tetapi untuk tujuan artikel ini, lebih baik kita mempermudahkan perbincangan dengan menggunakan kedua-dua terma liberal dan libertarian secara sekaligus.

Pegangan fahaman liberalisme yang paling pokok boleh dikatakan bermula daripada zaman Abrahamik dan Greek yang mempercayai wujudnya satu sistem peraturan sejagat yang diberikan oleh Tuhan.

Semua manusia adalah tertakluk kepada sistem peraturan ini. Baik rakyat mahupun pemerintah, tidak ada yang terkecuali.

Kedatangan Islam memperkukuh kepercayaan bahawa tidak ada sesiapapun yang lebih tinggi daripada undang-undang.

Inilah yang dikenali sebagai konsep “kedaulatan undang-undang” yang menjadi prinsip utama falsafah liberal.

Konsep kedaulatan undang-undang dijadikan perisai utama untuk menghalang wujudnya kediktatoran dan totalitarianisme.

Konsep kedaulatan undang-undang menuntut persamaan antara pemerintah dan mereka yang diperintah, Oleh kerana golongan pemerintah boleh memegang pelbagai kuasa untuk memaksa rakyat – seperti kuasa membuat undang-undang, kuasa ke atas tentera dan kuasa ke atas polis – adalah amat penting agar segala kuasa ini dihadkan.

Jika golongan pemerintah dibiarkan mempunyai kuasa tanpa had, hampir pasti kita akan menjadi sebuah negara yang mendaulatkan kuasa manusia, bukannya mendaulatkan undang-undang.

Maka sebab itulah satu lagi prinsip yang dipegang dalam falsafah liberalisme ialah prinsip “kerajaan terhad”.

Kerajaan ialah satu institusi yang diberikan kuasa oleh rakyat. Pemberian kuasa inilah yang membolehkan kerajaan berkuasa.

Tetapi kerajaan juga merupakan satu entiti yang mempunyai potensi tinggi untuk menzalimi rakyat kerana kuasa yang mereka miliki.

Untuk menghalang kezaliman pemerintah, fungsi dan kuasa kerajaan mestilah dihadkan melalui satu perlembagaan bertulis yang memperjelas dan meletakkan had terhadap bidang tugas kerajaan dengan cara mewujudkan mekanisme semak imbang.

Ini merupakan satu perkara penting. Pemerintah wujud kerana kita sebagai rakyat memberi kuasa kepada mereka. Rakyatlah pemilik kuasa sebenar dan kerajaan adalah petugas sahaja. Bukan sebaliknya.

Kita mesti melakukan apa sahaja yang kita mampu untuk memastikan mereka yang kita letak di tampuk kekuasaan tidak lupa diri dan menyangka mereka adalah raja.

Caranya ialah dengan menuntut kerajaan yang terhad. Konsep kerajaan terhad memerlukan penghormatan kepada satu lagi konsep iaitu “kebebasan dan tanggungjawab individu”.

Setiap individu haruslah bebas melakukan apa yang mereka mahu dan mereka mesti bertanggungjawab atas perlakuan mereka.

Mereka yang mahu mengamalkan agama mestilah tidak dihalang dan mereka yang tidak beragama juga tidak dipaksa.

Islam merupakan antara agama yang menuntut kebebasan ini. Dalam zaman kegemilangan Islam, Panglima Rubi’e bin Amir dengan penuh gah mengatakan kepada General Rustum, seorang bangsawan Rom, bahawa Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar manusia boleh secara sukarela memperhambakan diri kepada Allah sahaja.

Tetapi kelahiran beberapa gerombolan “tuhan manusia” di kalangan umat Islam adalah satu fenomena yang memerlukan ulasan tersendiri.

Yang terpenting konsep kebebasan dan tanggungjawab individu menuntut agar pemerintah tidak mencampuri urusan peribadi rakyat.

Pemerintah hanya wajar masuk campur jika seseorang individu mengganggu orang lain.

Falsafah libertarianisme atau liberalisme juga mendokong konsep “ekonomi pasaran terbuka”. Tetapi ramai yang tidak tahu kenapa konsep ini disokong.

Ada yang menuduh falsafah liberal menggalakkan jurang antara kaya dan miskin. Dan ada juga yang terkeliru antara perangai jahat individu kapitalis dengan prinsip-prinsip kapitalisme.

Falsafah liberalisme mendokong sistem kapitalisme pasaran bebas kerana inilah satu-satunya sistem ekonomi yang menghormati maruah manusia.

Sistem pasaran bebas menghormati pilihan setiap individu dan boleh menghalang kronisme.

Dalam sistem pasaran yang bebas, para peniaga perlu bersaing untuk memenuhi kemahuan pengguna dan rakyat.

Tetapi dalam sistem ekonomi yang tidak terbuka, para peniaga tidak perlu menghiraukan tuntutan pengguna kerana mereka hanya perlu memenuhi nafsu serakah ahli politik sahaja untuk mendapatkan layanan istimewa, subsidi dan sebagainya.

Sistem pasaran yang tidak terbuka menjadikan rakyat sebagai mangsa kerana ia menolak hak kita untuk memilih.

Biasanya sistem selain daripada pasaran bebas akan menyebabkan keuntungan diswastakan manakala kerugian ditanggung oleh negara.

Kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa biasanya berlaku kerana ada kolusi antara peniaga dan ahli politik.

Ini hanya boleh berlaku dalam sistem ekonomi tidak bebas, bukan dalam sistem kapitalisme pasaran bebas. Salah laku sebeginilah juga yang mahu dihapuskan oleh para pendokong faham liberalisme.

Ringkasnya, seorang liberal atau libertarian itu ialah seorang yang berpegang dengan konsep kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, kebebasan dan tanggungjawab individu, dan ekonomi pasaran terbuka.

Artikel ini sebenarnya adalah satu ringkasan yang mungkin kurang adil bagi sebuah falsafah yang besar, tetapi saya rasa prinsip-prinsip besarnya telah saya rangkumkan dalam had ruangan yang saya ada.

Jadi, jika ada pihak yang membuat pelbagai tuduhan mengenai liberalisme selepas ini, saya mohon agar para pembaca menilai dahulu adakah mereka itu tahu apa yang mereka cakapkan atau hanya bersifat bodoh sombong sahaja.

Kita perlu boleh mengenali golongan kedua ini agar kita tidak selamanya terikut-ikut tanpa pengetahuan.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

Artikel Lain