suria

PAS Kedah Senarai Pendek Lapan Calon PRK Sungai Limau

ALOR SETAR: PAS Kedah menyenarai pendekkan lapan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk dipertimbangkan kepimpinan PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, calon PAS untuk PRK DUN Sungai Limau akan diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam 21 Oktober, di Pekan Sungai Limau, Yan.

"Difahamkan Barisan Nasional (BN) umum calon pada 21 Oktober sebelah siang. Kita pula sebelah malam. Kesemua lapan senarai calon kita berkelayakan. Kesemua mereka anak didik Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak)," katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah dekat sini Sabtu.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, walaupun ramai beranggapan DUN Sungai Limau (dikenali sebagai DUN Sala, sebelum pilihan raya umum 2004) adalah kubu kuat PAS kerana kejayaan parti itu menguasainya sejak 1995, namun PAS tidak boleh memandang mudah kekuatan BN.

"Saya percaya BN akan cuba sedaya upaya merampas DUN Sungai Limau. Kalau ikutkan sebelum 1995, kita (BN dan PAS) bergilir-gilir. Kali ini kita menang, lagi sekali BN pula menang. Sebab itu tak boleh pandang ringan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Azizan pada 26 September lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

Artikel Lain