suria

159 Mangsa Bot Ekspres Terima Wang Ihsan

KAPIT: Sekumpulan 159 mangsa terselamat dalam tragedi bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam di Giam Bungan di Belaga pada 28 Mei lepas, menerima bantuan wang ihsan daripada kerajaan pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam Negeri, menyampaikan wang ihsan itu sumbangan Majlis Keselamatan Negara dan Yayasan 1Malaysia.

Setiap mangsa yang terselamat menerima RM1,000 manakala keluarga tiga mangsa yang meninggal dunia pula masing-masing mendapat RM10,000.

Tiga penduduk tempatan yang paling awal menyelamatkan mangsa menerima RM3,000 seorang.

Ketika berucap di majlis itu, Jabu berkata kerajaan negeri membuat keputusan menghentikan operasi mencari dan menyelamat selepas 24 hari disebabkan keadaan sungai yang sukar dan berbahaya.

"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri pada 19 Jun, kami dinasihati polis bahawa 'Kawan Mas' terbenam jauh ke dalam sungai dan sangat berisiko untuk pasukan penyelam mengesan serta mengapungkannya.

"Namun sebaik sahaja tragedi itu berlaku pada 28 Mei, kerajaan dan semua pihak yang terlibat telah melakukan yang terbaik," katanya.

Jabu berkata telah disahkan bahawa 222 penumpang berhimpit-himpit di dalam bot ekspres menghala Kapit/Sibu yang karam kira-kira 8.30 pagi di Sungai Rajang selepas terlanggar balak yang separuh tenggelam dan kemudiannya mengalami masalah enjin.

"Daripada jumlah itu 219 terselamat manakala tiga lagi meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata 60 lagi mangsa yang terselamat akan menerima bantuan wang ihsan di sini minggu depan.

Bercakap kepada media kemudian, Jabu berkata semua jurangan bot ekspres perlu mematuhi undang-undang dan peraturan pelayaran seperti yang ditetapkan Lembaga Sungai-sungai Sarawak selaku penguat kuasa keselamatan laluan sungai, semasa sedang belayar.

Beliau berkata selain itu, mereka perlu arif dengan keadaan sungai yang boleh berubah dengan pantas apabila paras air menjadi surut atau sebaliknya.

"Mereka sekurang-kurangnya boleh meminimumkan sebarang kejadian tidak diingini atau kemalangan daripada berlaku sungguhpun mereka tidak berdaya menghalangnya daripada berlaku 100 peratus," katanya.

Mengenai cadangan agar dibina monumen di lokasi kemalangan, beliau berkata kerajaan sedia mendengar cadangan daripada keluarga mangsa.

Ditanya sama ada kerajaan merancang untuk membina jalan raya menghubungkan Belaga ke Kapit beliau berkata lebih banyak kawasan luar bandar di negeri ini akan dihubungkan dengan jalan raya.

"Tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk membina lebih banyak jalan di kawasan luar bandar negeri ini. Di bahagian Kapit, pembinaan jambatan merentasi Sungai Balleh yang sedang dalam pelaksanaan adalah permulaan yang baik," katanya.

-BERNAMA

Artikel Lain