suria

Mais Dibenar Mencelah Dalam Petisyen Cabar Enakmen Agama Islam Negeri Selangor

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu untuk mencelah dalam petisyen yang difailkan bagi mencabar kedudukan Enakmen Agama Islam Negeri Selangor yang didakwa menyekat kebebasan menyuarakan pendapat.

Petisyen itu difailkan syarikat penerbitan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid yang memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai tidak sah.

Pada Mei tahun lepas, ZI Publications menerbitkan dan menterjemah sebuah buku ke dalam bahasa Malaysia bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' daripada versi asal dalam bahasa Inggeris bertajuk 'Allah, Liberty and Love' karya penulis terkenal Irshad Manji.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel lima hakim, membenarkan permohonan Mais sebagai pencelah dalam petisyen itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan menyokong permohonan Mais selaku pencelah dalam petisyen itu.

Sementara itu, mahkamah membatalkan permohonan yang dikemukakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mencelah dalam petisyen itu selepas MAIWP yang diwakili peguam Mubashir Mansor menarik balik permohonan.

ZI Publications dan Mohd Ezra memfailkan petisyen berkenaan secara terus kepada Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(3) dan Perkara (4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 128 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, dengan menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atas alasan Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang itu.

Mengikut Seksyen 16 Enakmen itu, seseorang yang mencetak, menerbitkan, mengeluarkan, merakam atau mengedar atau memiliki sebarang buku atau dokumen yang bercanggah dengan undang-undang Islam untuk tujuan menjualnya, dianggap melakukan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mubashir, yang juga peguam mewakili Mais memohon bagi pihak Mais untuk mencelah dalam petisyen itu, apabila berhujah majlis itu mempunyai hak undang-undang untuk mewakili kesnya dalam prosiding itu.

Beliau berkata ini kerana isu yang dibangkitkan oleh pempetisyen akan secara langsung memberi kesan kepentingan undang-undang kepada Sultan Selangor, yang merupakan ketua agama Islam di Selangor dan Mais selaku pihak berkuasa utama berhubung hal ehwal Islam di negeri itu.

"Jika Mais tidak terlibat selaku pihak dalam prosiding ini, besar kemungkinan akan wujud persepsi oleh masyarakat Islam bahawa Mais gagal menjalankan tugas dan fungsinya seperti yang disebut terdahulu yang mana perkara ini adalah sangat penting," kata Mubashir.

Bagaimanapun, peguam Nizam Bashir yang mewakili ZI Publications memohon mahkamah menolak permohonan Mais sebagai pencelah. Beliau berkata Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan anak guamnya sebagai pihak dalam petisyen itu.

Nizam berkata penasihat undang-undang kerajaan negeri boleh mewakili pihak berkepentingan, jika ada pencelah yang dicadangkan.

Berikutan penerbitan buku itu, Mohd Ezra, 30, ditahan pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah mengikut Seksyen 16 Enakmen berkenaan dan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah.

Mohd Ezra memohon dibicarakan bagi tiga tuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Syariah dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain