suria

Audit Dedah Kelemahan Projek Pembinaan Kolej Tentera Darat

KUALA LUMPUR: Beberapa kelemahan ketara dikesan dalam projek pembinaan Kolej Tentera Darat (KDT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah seliaan Syarikat Sri Tinggi Sdn Bhd (STSB).

Laporan Audit 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa menyatakan antara kelemahan itu ialah peningkatan kos sebanyak 8.2 peratus daripada RM175.30 juta kepada RM190.90 juta, kerja di luar skop kontrak tanpa kelulusan Agensi Pelaksana bernilai RM7.29 juta dan kualiti pembinaan dan reka bentuk fasiliti yang kurang memuaskan.

Selain pembinaan projek KDT itu kurang memuaskan, pengauditan yang dilakukan antara Oktober dan Disember 2012 mendapati tempoh kontrak projek itu yang bermula dari Jun 2008 hingga Jun 2011 dengan anggaran kos asal diluluskan Kementerian Kewangan bernilai RM175.30 juta tetapi kos sehingga Disember 2012 meningkat kepada RM190.90 juta setelah tiga pelarasan harga kerja dilakukan.

"Pada pendapat Audit, Kementerian Pertahanan sepatutnya menguruskan peruntukan bagi projek Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) dengan mengawal kos bagi setiap projek yang telah diluluskan Kementerian Kewangan," menurut laporan itu.

Kementerian Pertahanan dalam maklum balasnya kepada laporan itu pada 4 Jun 2013 menyatakan Kementerian Kewangan telah meluluskan tambahan siling PFI sehingga RM193 juta kerana baki siling terdahulu tidak mencukupi untuk menampung pembayaran projek kolej itu.

Audit juga melaporkan bahawa kerja di luar skop kontrak yang turut dijalankan STSB melibatkan pemasangan kerja infrastruktur dan sistem rangkaian serta pembekalan 'loose furniture'.

Menurut laporan itu semakan mendapati permohonan untuk kerja berkenaan tidak diluluskan oleh Markas Latihan Tentera Darat (MK Latihan TD) berikutan peruntukan sedia ada bagi projek pembinaan kolej itu tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, MK Latihan TD meneruskan rundingan dengan STSB bagi membolehkan keperluan ini disediakan," menurut laporan itu.

Audit berpendapat Kementerian Pertahanan sepatutnya menolak pelaksanaan kerja itu di peringkat awal memandangkan tiada peruntukan disediakan untuk membiayai skop kerja tambahan itu.

Sehubungan itu, Audit mengesyorkan kementerian supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan selaras dengan arahan Kementerian Kewangan untuk menyiasat kerja tambahan yang tidak teratur dan tidak mendapat kelulusannya itu.

Selain mengemukakan laporan hasil siasatan itu kepada Kementerian Kewangan, Audit juga meminta Kementerian Pertahanan mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan mengenakan tindakan sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain