suria

Khidmat Malcoy Tamat Apabila Digabungkan Bersama Malbatt Oktober Ini

KAWKABA (LUBNAN): Setelah hampir tujuh tahun menabur bakti di kawasan bergolak di Lubnan akhirnya khidmat pasukan Malaysian Company (Malcoy) berakhir apabila pasukan itu digabungkan bersama pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) Oktober ini.

Komander Malcoy 8 Lt Kol Hamdan Ismail berkata dengan penutupan kem operasi itu, segala tugas rondaan diserahkan kepada Indian Battalion (Inbatt) yang akan mengambil alih kawasan Kawkaba dari Malaysia.

"Sebagai pasukan Malcoy terakhir, kita sedang melakukan tugas-tugas membawa serta memindahkan peralatan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di penempatan baru yang mana ia turut dikongsi pasukan Malbatt 6 di kem Marakah dekat sini, pada Oktober," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata kem Kawkaba secara rasminya ditutup pada 3 Julai lepas, kini memasuki fasa terakhir untuk diserahkan kepada Inbatt sebelum kem di Marakah dibuka yang turut menjadi markas operasi utama pasukan Malcoy dan Malbatt selepas ini.

Katanya, langkah untuk menamatkan khidmat Malcoy yang sebelum ini dikenali sebagai Kontinjen Malaysia (Malcon) merupakan polisi ATM dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengurangkan anggota tentera di Lubnan selain memudahkan segala bentuk operasi yang akan dijalankan.

Justeru dengan penggabungan Malcoy dan Malbatt ia akan dikenali sebagai Malbatt 850 sempena mengambil nama kekuatan pegawai dan anggota pasukan itu seramai 850 orang, kata Hamdan.

Beliau berkata dengan penutupan kem Kawkaba itu maka ia menjadi satu lipatan sejarah kepada ATM yang telah menabur jasa kepada lebih 150,000 penduduk di kawasan itu yang mana sumbangan terbesar pasukan Malcoy di situ ialah memberikan kemudahan perubatan kepada masyarakat di negara Timur Tengah itu.

Kem Kawkaba yang dibuka pada Januari 2007 telah dioperasikan enam pasukan Malcon dan dua pasukan Malcoy yang mana kekuatan terakhir pasukan itu ialah 360 pegawai dan anggota.

Hamdan berkata kem berkenaan yang terletak bersempadan Israel turut menyimpan kenangan pahit termasuk kejadian kemalangan kenderaan yang menimpa seorang anggota tentera Malaysia yang sedang menjalankan tugas operasi di Kawkaba.

Dalam pada itu, menurut pegawai waran II Mohd Suhaimi Saad, 35, beliau sedih meninggalkan bumi Lubnan tambahan kem di mana beliau bertugas akan ditamatkan operasinya selepas ini.

"Khidmat bakti pasukan Malcoy 8 amat dihargai penduduk tempatan, mereka juga menerima kita (Malcoy 8) dengan hati terbuka kerana kita banyak membantu mereka terutama dalam memberikan rawatan dan kemudahan yang diperlukan, jadi amat sedih kerana selepas ini semua itu akan tinggal kenangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain