suria

KPJ Diarah Bayar Ganti Rugi Kepada Hospital Penawar RM70.4 Juta

JOHOR BAHARU: Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sdn Bhd diarah membayar sebanyak RM70.4 juta kepada Hospital Penawar Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat setelah didapati melanggar perjanjian usahasama yang dimeterai sebelum ini.

Saman itu sebelum ini difailkan oleh Pengerusi Hospital Penawar Dr Mohd Adnan Sulaiman dan Pengarah Urusannya Azizan Sulaiman.

Ia berikutan keputusan KPJ untuk menubuhkan sebuah hospital baharu di Pasir Gudang pada jarak kurang daripada satu kilometer dari Hospital Penawar yang sedia ada.

Dalam perjanjian itu, yang ditandatangani pada Mei 1995, antara lain menyatakan KPJ yang memiliki kira-kira 30 peratus saham di Hospital Penawar perlu bertanggungjawab dalam menggembleng sumber dan kepakaran untuk manfaat bersama.

Bagaimanapun pada Oktober 2009 pihak plaintif mendapati KPJ membina sebuah hospital baharu di Pasir Gudang yang terletak hanya satu kilometer dari Hospital Penawar dengan perkhidmatan perubatan yang sama.

Sehubungan itu Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam penghakimannya berkata KPJ telah melanggar syarat-syarat dalam perjanjian usahasama itu dan perlu membayar ganti rugi RM70.4 juta.

Selain ganti rugi berkenaan, KPJ juga diarah oleh mahkamah agar membayar faedah tambahan sebanyak lima peratus jika mereka gagal menyelesaikan jumlah itu dalam tempoh dua minggu, selain perlu menjelaskan caj guaman sebanyak RM150,000 bagi pihak yang menuntut.

Hospital Penawar yang diwakili peguam Datuk Mohammad Adam Abdullah sebelum ini menuntut ganti rugi berjumlah RM155.6 juta, bagaimanapun setelah mendapat laporan pakar bebas, jumlah ganti rugi yang dituntut dikurangkan daripada RM70.1 hingga RM91 juta.

KPJ diwakili peguam S.Youggeswary dan Jagjit Kaur.

Sementara itu, Mohammad Adam berkata ganti rugi yang diputuskan oleh mahkamah disifatkan satu jumlah yang wajar terhadap anak guamnya yang selama ini menanggung kerugian akibat tindakan KPJ.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dengan keputusan mahkamah ini dan anak guam saya sendiri telah lama menunggu untuk mendapat keadilan ini," katanya kepada Bernama.

Hospital Penawar pada asalnya diperbadankan dengan nama Hospital Adnan Sulaiman Sdn Bhd pada Ogos 1993 sebelum bertukar nama kepada Hospital Penawar pada September 1994. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain