suria

Tabung Haji Pastikan Jemaah Selesa Walaupun Kerja Pembangunan Di Mekah

MADINAH: Tabung Haji (TH) akan memastikan jemaah haji Malaysia tahun ini akan dapat beribadat dalam keadaan selesa walaupun kota Mekah menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail berkata TH kini telah bersiap sedia dengan tempat tinggal jemaah haji di Mekah dan Madinah selain persiapan makanan untuk para jemaah yang akan tiba awal September ini.

Katanya bagi penginapan di Madinah, jemaah akan tinggal di tempat penginapan dalam jarak 150 meter dari Masjid Nabawi manakala di Mekah, yang kerja-kerja pembangunan sedang pesat dijalankan, jemaah akan tinggal dalam jarak 600 hingga 950 meter dari Masjidil Haram.

"Kita cuba elakkan jemaah untuk tinggal di hotel lebih satu kilometer. Ketika ini banyak kerja pembangunan dijalankan di Kota Mekah dan banyak bangunan dan hotel berdekatan masjid dirobohkan tetapi kita masih dapat kekalkan dalam jarak tak lebih 950 meter," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Katanya seperti tahun-tahun lepas, 800 petugas TH terlibat pada tahun ini termasuk petugas yang menjaga kebajikan dan perubatan bagi memastikan keselesaan para jemaah.

"Kita akan kekalkan jumlah itu walaupun terdapat pengurangan jemaah tahun ini (oleh kerajaan Arab Saudi). Kita ambil peluang kekurangan jemaah untuk beri lebih keselesaan kepada jemaah," katanya.

Ismee berkata jemaah turut dimaklumkan tentang kerja-kerja pembangunan yang sedang dijalankan di Mekah yang memungkin keadaan lebih sesak dan berhabuk, memerlukan jemaah mengambil langkah lebih berhati-hati dan memakai topeng muka.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji jemaah Malaysia 20 peratus daripada 27,900 kepada 22,320, katanya TH akur dan menghHkeputusan itu.

"Kerja-kerja pembangunan dijangka memberi kesan terutama ketika tawaf. Jika dulu tawaf setiap jam boleh melibatkan 48,000 jemaah, kini hanya 22,000. Bukan hanya Malaysia, semua negara. Malah kuota negara mereka senditri dikurangkan sehingga 50 peratus," katanya.

Mengenai kos, katanya para jemaah muassasah yang kali pertama masih dikenakan kadar haji RM9,980 seorang sedangkan kos sebenarnya adalah RM15,555, iaitu TH menanggung kos tambahan RM5,575.

"TH tidak menanggung kos jemaah muassasah yang bukan kali pertama kerana kos mereka telah ditanggung sebelum ini. Yang tinggi adalah kos penginapan kerana selepas haji tahun lepas ada perobohan bangunan termasuk hotel yang menyebabkan penawaran berkurangan," katanya.

Ismee berkata jika dibandingkan dengan negara jiran, paling rendah kos haji adalah RM16,000 sedangkan tempat tinggal mereka dua, tiga kilometer dari Masjidil Haram, selain TH menyediakan banyak kemudahan lain yang negara berbanding negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismee berkata dua kompleks haji yang baru mula beroperasi tahun ini di Alor Setar, Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu bagi memudahkan jemaah berangkat terus dari pantai timur dan utara.

"Urusan penerbangan dah selesai. Tahun ini kita menggunakan dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Air," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain