suria

40 Hingga 50 Lagi Klinik 1Malaysia Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 hingga 50 lagi Klinik 1Malaysia (K1M) akan disediakan di seluruh negara bermula tahun depan untuk memenuhi permintaan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata penyediaan pembinaan K1M akan tertumpu di kawasan yang mempunyai ramai rakyat berpendapatan rendah.

"Walaupun ada rungutan daripada pemilik klinik swasta apabila K1M ditubuhkan, namun K1M tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat kerana caj perkhidmatan yang lebih murah yang dikenakan.

"Ia merupakan produk 1Malaysia yang berjaya dan mampu dinikmati semua rakyat dalam memastikan tahap kesihatan yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Malam Mesra Rakyat Bersama Menteri Kesihatan di sini, malam Khamis.

Kini terdapat lebih 200 K1M di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 1.5 juta rakyat dengan hanya mengenakan bayaran RM1 bagi warganegara dan RM15 bagi bukan warganegara.

Klinik ini adalah sebahagian daripada pengisian Gagasan 1Malaysia, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi fokus khas terhadap perhubungan harmoni antara kaum, penyatuan nasional dan pentadbiran efisien. - BERNAMA

Artikel Lain