suria

Othman Muhamad Dipilih Semula Speaker DUN Melaka

Othman Muhamad.
Othman Muhamad.
Othman Muhamad.

MELAKA: Datuk Othman Muhamad pada Isnin dipilih semula dan mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) untuk penggal kedua.

Beliau yang sebelum ini dilantik ke jawatan itu pada 21 April 2008, dipilih semula setelah memperoleh 22 undi daripada anggota Dewan Undangan Negeri Melaka (Adun) berbanding enam yang berkecuali.

Menarik perhatian apabila Othman mendapat undi Adun Bukit Baru daripada PAS Dr Khalid Kassim selain 21 Adun Barisan Nasional (BN) sementara enam Adun daripada DAP membuat undi berkecuali.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang mencadangkan Othman dilantik semula sebagai Speaker dan disokong Adun Gadek Datuk M.S Mahadevan.

Idris berkata, Othman sebelum ini telah menjalankan tugas dengan baik, lebih-lebih lagi dengan pengalaman serta pengetahuan luas beliau, membolehkan persidangan DUN dikendalikan dengan cekap dan berjaya.

Sementara itu, Adun Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Latip dilantik sebagai Timbalan Speaker setelah dicadangkan Adun Ayer Molek Datuk Md Yunos Husin dan disokong Adun Klebang Lim Ban Hong.

Berucap setelah mengangkat sumpah sebagai Speaker, Othman mahu setiap Adun Melaka perlu menjadikan persidangan DUN sebagai tempat menyelesaikan masalah rakyat, bukannya tempat peperangan antara parti politik.

"Bawa masalah rakyat dalam dewan ini secara berhemah, mengikut budaya tinggi bangsa Malaysia," katanya.

Sementara itu, seramai 28 Adun Melaka termasuk tujuh daripada pembangkang diketuai Idris mengangkat sumpah di hadapan Othman pada Isnin.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, BN berjaya mempertahan kemenangan dengan majoriti dua pertiga setelah memperoleh 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi DUN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain