suria

Bank Rakyat Dilantik Ejen Pembayaran Cukai LHDN

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dilantik ejen pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Sehubungan dengan itu, transaksi pembayaran cukai boleh dilakukan di kesemua 141 kaunter cawangan Bank Rakyat di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM Datuk Mohammad Sait Ahmad.

"Bank Rakyat merupakan ejen kutipan cukai LHDNM yang ke-13. Dua belas ejen kutipan cukai LHDNM yang lain adalah CIMB Bank, Public Bank, RHB Bank, Maybank, Alliance Bank, Hong Leong Bank, Citibank, POS Malaysia, Ambank, OCBC Bank, Affin Bank dan HSBC Bank," katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Bank Rakyat sebagai ejen kutipan cukai LHDNM.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Rakyat, menurut Mohammad Sait dapat ditingatkan lagi dengan terlaksananya kemudahan pembayaran secara online melalui sistem perbankan internet i-Rakyat pada fasa kedua tahun ini.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Bayaran dan Maklumat LHDNM Azizol Ahmad berkata, setakat ini, 20 peratus dari jumlah pembayaran LHDN adalah melalui bayaran secara aplikasi elektronik.

"Kami menyasarkan bahawa pada akhir tahun ini jumlah kutipan adalah melalui bayaran secara aplikasi elektronik," kata Azizol pada majlis itu. - BERNAMA

Artikel Lain