suria

Siapa Pengganti Presiden & CEO Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar?

Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR: Dengan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi, persoalan yang bermain di benak 47,000 pekerja bank itu sekarang adalah siapa yang akan menggantikan Abdul Wahid untuk menerajui bank perdagangan terbesar Malaysia itu?

Maybank berkata Lembaga Pengarah akan mengenal pasti calon yang sesuai bagi menggantikan Abdul Wahid dan satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Lembaga Pengarah dan kakitangan Maybank mengucapkan tahniah kepada Abdul Wahid di atas pelantikan beliau menyertai Kabinet.

"Pelantikan itu adalah satu penghormatan kepada kepimpinan dan keupayaan Abdul Wahid, yang berupaya menerajui Maybank dalam tempoh lima tahun lepas," kata Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dalam satu kenyataan.

"Antara pencapaian utama beliau ialah, beliau memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi Maybank bermula 2008 serta menyelia pengembangan operasi serantau kami, menjadikan kami syarikat paling bernilai yang tersenarai di Bursa Malaysia, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dan bank ke-13 paling kukuh di dunia hari ini.

"Maybank amat berbangga dengan penghormatan yang diberikan kepada Abdul Wahid dan kami percaya kualiti kepimpinan teladan beliau dan pengalaman luasnya akan menjadi aset kepada negara," kata Megat Zaharuddin.

"Meskipun Wahid sudah pastinya akan dirindui oleh kami semua di Maybank, kami memberi jaminan bahawa beliau telah membangunkan satu kumpulan kepimpinan yang kukuh yang akan berupaya untuk terus menerajui Maybank dalam perjalanannya menjadi peneraju perkhidmatan kewangan serantau," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain