suria

Tiada Masalah Kembalikan Kerusi Gelang Patah Kepada MCA - Abdul Ghani

JOHOR BARU: Barisan Nasional (BN) Johor amat jelas dengan kedudukan kerusi Parlimen Gelang Patah yang diperuntukkan kepada MCA dan dipinjamkan kepada Umno untuk pilihan raya umum ini sahaja.

Sehubungan itu, Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman berkata tidak akan timbul masalah untuk kawasan berkenaan dikembalikan kepada MCA pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Perkara itu memang sudah diperjelaskan," katanya kepada pemberita selepas penyampaian peruntukan 'Touch Points' secara one-off kepada peladang, penternak dan nelayan Gelang Patah, di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri jamuan malam bersama badan bukan kerajaan di sini pada Isnin, bahawa kerusi Gelang Patah akan dikembalikan kepada MCA pada PRU-14.

Pada pilihan raya kali ini, BN meletakkan Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor dalam usaha mempertahankan kawasan itu daripada cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang.

Kawasan tradisi MCA itu mempunyai 54 peratus pengundi Cina, 33 peratus Melayu, 12 peratus keturunan India dan baki lain-lain kaum. - BERNAMA

Artikel Lain