suria

MCA Wajar Dedah Laporan Kejayaan, Pembangunan Kepada Masyarakat Cina - Liow

PUTRAJAYA: MCA wajar memaklumkan kejayaan, pembangunan dan transformasi yang telah dibawa parti kedua terbesar itu kepada masyarakat Cina sejak sekian lama, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MCA yang diadakan semalam bagi membolehkan masyarakat Cina dan kaum lain menyedari sumbangan dan komitmen parti itu terhadap pembangunan, kejayaan rakyat dan negara ini.

"MCA juga perlu terus mengumumkan lebih banyak lagi pembangunan dan laporan-laporan kejayaan MCA dalam transformasi negara. Kita tahu bahawa MCA juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan transformasi negara. MCA pemangkin kepada keseluruhan perubahan yang berlaku di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Pengiktirafan Dua Institusi Pengajian Perubatan Shangai, China di sini, Rabu.

Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata selain laporan kejayaan MCA, parti itu juga bertekad menerangkan kepentingan mengekalkan kestabilan politik sedia ada dan pembangunan berterusan kepada komuniti itu yang hanya dapat dijamin kerajaan sedia ada.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai laporan tahunan Program Transformasi Negara 2012 yang mengandungi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi,(ETP) malam tadi jelas membuktikan bahawa negara mampu mencapai status negara maju lebih awal daripada 2020.

"Oleh itu MCA perlu memainkan peranan dan yang penting maklumkan kepada komuniti Cina bahawa pentingnya negara kita stabil, pembangunan yang berterusan, agenda transformasi negara berada dalam landasan yang betul dan perlu kita berikan kekuatan dan keyakinan kepada perdana menteri untuk membawa kita ke tahap yang lebih tinggi dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Mengenai senarai calon MCA untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13, beliau berkata MCA juga akan menurunkan muka-muka baharu yang penuh bersemangat dan bertenaga.

"Kami ada ramai muka baharu. Saya tidak ada maklumat terperinci. Presiden (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) akan maklumkan perkara itu tidak lama lagi. Dalam transformasi negara, MCA juga bergerak cepat untuk mencapai dan mendekati inspirasi rakyat," jelasnya.

Minggu lepas, Chua berkata MCA membariskan 40 peratus muka baharu yang terdiri daripada golongan muda sebagai calon untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri.

Menurutnya, senarai calon itu telah disiapkan dan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN, untuk pertimbangan. BERNAMA

Artikel Lain