suria

BN Yakin Pertahan Kerusi Parlimen Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Johor Baharu serta dua kawasan dewan undangan negerinya (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pengerusi BN Johor Bahru yang juga Anggota Parlimennya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi dan rekod perkhidmatan BN yang baik di kawasan berkenaan.

"Kita (BN Johor Bahru) mempunyai rekod perkhidmatan yang terbaik dan kita tidak bimbang untuk dinilai oleh rakyat. Parlimen Johor Baharu dan dua kerusi dewan undangan negerinya adalah kawasan selamat," katanya.

Katanya, selama ini BN Johor Bahru berusaha memastikan keperluan masyarakat dan pengundi di kawasan parlimen itu serta DUN Stulang dan Tanjung Puteri dipenuhi.

Pada PRU12, Shahrir mengetepikan cabaran daripada calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hasan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Bagi kerusi DUN Tanjung Puteri pula, calon BN Datuk Adam Sumiru menewaskan P. Subramaniam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kelebihan 13,740 undi, manakala Mok Chek Hou pula mengatasi calon DAP dan PRM dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 6,181 undi.

Sementara itu Ketua Pegawai Pilihan Raya BN Johor Bahru, Abu Talib Alias berkata, jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Johor Baharu setakat 31 Disember 2012 ialah sebanyak 97,000, iaitu bertambah 8,000 berbanding 2008.

Pengundi kaum Melayu kekal majoriti dengan 51 peratus, diikuti Cina 43 peratus dan selebihnya pengundi kaum India dan lain-lain kaum.

Pada majlis sama, BN Johor Bahru turut melancarkan Tabung Lahad Datu dengan Shahrir serta Adam dan Mok yang turut hadir, masing-masing menyumbang RM1,000.

Kutipan akan disalur kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara dalam pencerobohan di Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain