Rakyat Kelantan Berhak Dapat Penjelasan Isu Ladang Rakyat - Mustapa - Semasa | mStar

Rakyat Kelantan Berhak Dapat Penjelasan Isu Ladang Rakyat - Mustapa

KOTA BAHARU: Rakyat Kelantan berhak mendapat penjelasan secara terperinci berhubung isu pembangunan tanah pertanian di kawasan selatan negeri ini demi masa depan generasi akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah itu perlu diambil kerajaan negeri kerana masih ramai rakyat Kelantan yang tidak mengetahui keadaan sebenar pembangunan di kawasan tersebut.

"Kita ada dengar banyak cerita tentang bukit-bukit yang telah dibotakkan, tentang pencemaran alam apabila berlaku pembalakan secara berleluasa menyebabkan persekitaran cemar, air sungai kotor.

"Rakyat Kelantan tidak tahu apa sebenarnya berlaku jadi kita harap kerajaan negeri akan memberi penerangan kepada rakyat Kelantan apa yang sebenarnya berlaku di Lojing, Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di rumah bekas Timbalan Ketua Wanita MCA Bahagian Kota Baharu, Koay Lim Choon, 74, di sini, Ahad.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar mengenai aktiviti pembalakan yang berleluasa di Gua Musang untuk tanah pertanian mega sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran teruk di beberapa batang sungai di jajahan tersebut.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kerajaan negeri juga perlu mengemukakan Laporan Alam Sekitar (EIA) jika benar aktiviti pembalakan tersebut tidak merosakkan alam sekitar.

"Kita perlukan penjelasan apa sebenarnya yang berlaku. (Adakah aktiviti pembalakan yang dilaksanakan) menepati peraturan-peraturan alam sekitar dan setakat mana kawasan terjejas.

"Ini melibatkan rakyat Kelantan. Kalau (alam sekitar) terjejas, ia turut melibatkan anak cucu kita," katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2011 turut mengakui laporan air di negeri ini, tercemar dengan logam berat serta bakteria E-coli yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Nik Abdul Aziz yang juga Pengerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengakui kerajaan negeri gagal menyekat pembangunan di Hulu Kelantan sehingga menyebabkan pencemaran Sungai Kelantan, sekali gus menjejaskan kualiti bekalan air yang disalurkan kepada pengguna. BERNAMA

Artikel Sebelum

Radzi Sedia Dicalonkan Semula

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain