suria

Akta Kesalahan Keselamatan Akan Diguna Terhadap Mereka Dikait Dengan Militan

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 terhadap sesiapa yang dikesan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, tegas Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau menambah, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan kenalannya Halimah Hussein, serta pembantunya Mohd Hilmi Hasim ditahan di bawah akta baru selepas mereka disyaki mempunyai hubungan dengan satu kumpulan militan.

“Kaitan mereka boleh membawa implikasi global kepada negara kita terutama sekiranya tidak mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media selepas melancarkan logo baru Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata, kerajaan begitu serius dalam memastikan negara tidak menjadi pusat kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan keganasan.

"Akta baru ini diperkenalkan untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak juga diingatkan supaya tidak memperlekeh atau mempolitikkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) itu dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata demikian sebagai mengulas penahanan tiga individu baru-baru ini dengan dua daripada mereka, Yazid, 49, dan Halimah , 52, didakwa di mahkamah pada Jumaat atas pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lepas. Kedua-dua mereka menjadi individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan ISA dikuatkuasakan.

Hishammuddin berkata ISA lebih 'dihantui' dengan pelbagai tuduhan persepsi benar atau tidak berhubung kait banyak perkara termasuk tempoh tahanan tanpa bicara, layanan terhadap tahanan serta akses kepada keluarga dan peguam tahanan manakala Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) pula lebih bersifat terperinci seperti perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin untuk dituduh.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan Malaysia tidak sesekali boleh dijadikan negara transit bagi melakukan aktiviti keganasan dan kementerian katanya, tidak teragak-agak untuk menghantar pulang mana-mana rakyat negara luar sekiranya mereka terlibat dengan sebarang aktiviti berkenaan.

Terdahulu, Hishammuddin yang diiringi Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff turut melakukan rondaan di kawasan perumahan di Kampung Melayu Majidee dan Taman Suria, di sini bersama 17 Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Beliau kemudian menyampaikan enam geran bernilai RM10,000 setiap satu kepada enam persatuan penduduk di sekitar bandar raya ini sebagai usaha menggalakkan aktiviti rondaan keselamatan di kawasan kejiranan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain