suria

Bekas Tahanan ISA Warga Myanmar Dalangi Sindiket Palsu Dokumen - Imigresen

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen penting termasuk pasport antarabangsa Malaysia selepas menahan seorang lelaki warga Myanmar di sebuah gerai makan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Sakib Kusmi berkata lelaki berusia 47 tahun, dipercayai anggota utama sindiket itu, pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 atas kegiatan sama.

Beliau berkata dalam operasi susulan di sebuah rumah kedai di Taman Kasturi, Cheras, pihaknya merampas 88 pasport pelbagai negara antaranya Malaysia, Myanmar, India, Afrika Selatan dan Iran.

Selain itu, turut dirampas ialah 28 cop keselamatan palsu beberapa negara, 44 keping I-Kad, 401 keping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) separuh siap diproses, 1,500 keping kad kosong UNHCR dan 5,000 keping kad keselamatan palsu.

Turut dirampas ialah komputer riba, mesin pengimbas, mesin pencetak kad, alat pengesan wang serta wang tunai, katanya dalam sidang media di sini.

Sakib berkata dalam serbuan itu, pihaknya juga menahan teman wanita suspek iaitu seorang warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan haram itu lebih setahun lepas dan mengaut keuntungan sehingga RM2 juta.

Menurutnya sindiket itu menjual pasport pada harga RM150 setiap satu, kad UNHCR pada harga RM50 sekeping dan RM2,000 bagi setiap jenis visa palsu Malaysia dan negara lain.

Sakib berkata lelaki itu pernah ditahan selama dua tahun di bawah Akta ISA pada 2001 dan masuk semula ke Malaysia tanpa dokumen sah untuk meneruskan kegiatan haram itu.

"Kita juga akan rujuk perkara ini kepada UNHCR kerana walaupun suspek mempunyai kad UNHCR dan dilindungi UNHCR tetapi dia masih melakukan jenayah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain