suria

Polis Marin Tahan Lelaki Proses Air Daun Ketum

BALIK PULAU: Seorang lelaki ditahan dan polis merampas 300 bungkus air daun ketum dipercayai bernilai RM8,000 dalam serbuan di Kampung Nelayan Sungai Batu Teluk Kumbar di sini, Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ACP Mohd Yusof Abdullah berkata dalam serbuan pukul 2.30 petang itu, suspek berusia 24 tahun berkenaan sedang leka memasak daun ketum di sebuah bangsal, kira-kira lima meter dari persisiran pantai.

"Berdasarkan maklumat awam suspek telah menjalankan kegiatan itu selama enam bulan dan pernah beberapa kali ditahan atas kesalahan sama," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata polis Marin turut merampas 65 kilogram daun ketum mentah dan peralatan memproses air daun ketum seperti periuk, penimbang, dapur dan tong gas.

Mohd Yusof berkata siasatan awal mendapati daun ketum itu diperoleh dari Kedah dan air ketum yang telah diperoses dijual di sekitar Daerah Barat Daya. - BERNAMA

Artikel Lain